Penyanyi dan komposer, Aina Abdul memberitahu dia lebih selesa dan cenderung untuk menggayakan busana tradisional serba ringkas dan sopan pada hari raya.
Artikel Berkaitan: ‘Baik Sebagai Aina Abdul Mahupun Nurul Aina, Saya Masih Menjadi Diri Saya Iaitu Aina’
Artikel Berkaitan: Aina Abdul Lebih Berhati-Hati Bekerjasama Dengan Pihak Penganjur – ‘Perlu Berani Bincang Soal Kos, Duit Sangat Penting’
Seorang yang ‘simple’
Berbeza dengan penampilan di atas pentas, menurut Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 30, dia tertarik dengan baju kurung yang mempunyai sentuhan tradisional seperti potongan baju kurung Kedah.
Saya sebenarnya seorang yang serba ringkas ketika lebaran. Sama macam tahun sebelum ini pun, saya tertarik dengan baju kurung lama-lama.
Contohnya baju kurung Kedah yang estetik, ia sangat dekat dengan diri seorang Nurul Aina.
Tahun ini kami sekeluarga akan pakai sedondon. Emak yang paling teruja uruskan itu dan ini. Kami anak-anak tinggal bayarkan sahaja.
Dalam pada itu, pelantun lagu Terus Hidup itu memberitahu dia akan menyambut Lebaran di kampung halaman ibunya yang terletak di Mersing, Johor.
Katanya, dia juga menyediakan duit raya yang lebih berbanding tahun sebelum ini untuk diberikan kepada saudara mara.
Bagi saya, raya kali ini tidak jauh bezanya dengan sebelum ini. Cuma kali ini saya sudah sediakan duit raya lebih banyak berbanding sebelum ini. Jumlahnya tak perlulah dikongsi.
Tapi, apa yang buat saya teruja ialah saya keluarkan sampul raya sendiri.
Walaupun dihasilkan dengan teknik ‘fast printing’, tapi saya suka sebab nanti orang akan ingat muka saya. Sebab itu setiap tahun saya akan sediakan sampul raya.
Dalam perkembangan lain, Aina bakal tampil di konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Mei ini.
Aina bakal menyanyikan 16 buah lagu yang kebanyakannya dipetik daripada album sulungnya, Imaji.