Pelawak dan pengacara, Amir Raja Lawak mendedahkan ada yang mengugut mahu memboikot daripada membeli perniagaan air jagungnya di media sosial.
Artikel Berkaitan: Amir Raja Lawak Jawab Tuduhan Jadi Punca Peniaga Air Balang Hilang Pelanggan Sampai Anak Tak Makan
‘Amirreka bukan Amerika’
View this post on Instagram
Menerusi Instagram, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi memuat naik satu komen yang ditulis seorang netizen yang mahu memboikot air jagung ‘Amerika’nya kerana mendakwa penggunaan nama tersebut sangatlah dibenci orang ramai.
Difahamkan komen tersebut ditulis bertujuan untuk memboikot mana-mana produk yang berkaitan dengan Israel yang juga menjadi salah satu solidariti Palestin.
Air jagung Amerika orang amat benci guna nama (tersebut) kalau tidak boikot.
Walau bagaimanapun, pelawak berusia 34 tahun itu tampil menjelaskan bahawa penggunaan nama ‘Amirreka’ itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan negara Amerika Syarikat yang ketika ini mempunyai hubungan baik dengan Israel.
Ya Allah, dah terang-terang air jagung ‘Amerrika’ saya ni bermaksud Amir reka atau Amir yang reka.
Syukur perniagaan belum terjejas
Dalam pada itu, Amir meluahkan rasa syukurnya kerana perniagaannya masih belum terjejas meskipun mendapat ancaman sebegitu rupa dari netizen di media sosial.
Memetik laporan Harian Metro, pelakon filem ‘Hantu Air’ itu memohon agar orang ramai untuk membezakan dengan sebetul-betulnya nama perniagaan yang digunakan di samping membuat permohonan maaf sekiranya ada yang terkeliru.
Saya terkejut dan risau juga pada mulanya dengan komen itu. Apatah lagi, situasi sekarang orang bersemangat sangat nak boikot produk. Tapi, tiba-tiba produk saya pula nak kena boikot sedangkan semua bahan diguna produk tempatan saja.
Jadi, saya mohon maaf andai ada yang keliru. Bagaimanapun, syukur Alhamdulillah bisnes belum lagi terjejas. Cuma, risau jika orang lain ada berfikiran sama dengan individu yang komen itu dan ia sudah saya jelaskan pada hantaran di Instagram.
Amir turut berharap agar orang ramai tidak meneruskan niat untuk memboikot perniagaannya kerana ia akan menjejaskan pendapatan ejen-ejen yang berada di bawahnya.
Saya ini berniaga kecil-kecilan. Kalau boikot, macam mana saya nak bisnes. Saya juga ada ejen-ejen, lagi la risau kalau mereka (ejen) pun terkena tempias. Ditambah, dengan cara ini saya dapat berkongsi rezeki bersama orang lain.
Apa yang saya boleh kata, ada saja komen-komen nakal yang lain. Tapi, biasanya saya buat tak tahu saja. Namun, yang ini (berkaitan boikot) saya terpanggil untuk perjelaskan supaya ramai orang tidak salah anggap.
Alhamdulillah ramai yang memahami ‘nickname’ saya Amirreka itu, sampai ada yang cadangkan tukar ‘nickname’ pakai Amirgaza ataupun Amirpalestin supaya orang yang kurang faham itu puas hati.
Sumber: Instagram, Harian Metro