Penyanyi Aisha Retno bersedia bersemuka dengan penganjur Konsert Malam Sutera Aisha Retno iaitu Kharisma Music International berhubung isu pembatalan acara tersebut.
Artikel Berkaitan: Kharisma Music Tuntut Aisha Retno Bayar Balik RM77k, Nafi Batal Konsert Terburu-Buru – ‘Duit Itu Dipinjamkan Untuk AJL38’
Artikel Berkaitan: ‘Saya Harap Dia Jadi Penyanyi Yang Berjaya & Tak Perlu Tumpang Populariti Orang Lain’ – Aisha Retno
Sedia bermaafan
Aisha atau nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, berkata, dia terbuka meleraikan sengketa yang berlaku dan bersedia untuk bermaafan.
Saya bersedia untuk bermaafan dengan pihak sana, kalau pihak sana telefon sudah pasti saya akan jawab. Saya mahu mudahkan kerja kedua-dua pihak.
Saya menunggu kata maaf dari mereka dan saya juga bersedia memberi kata maaf kepada mereka kalau saya ada buat silap. Saya mahu semuanya aman.
Semua tahu, dia (Yuka Kharisma) sudah saya anggap macam kakak sendiri, tetapi apa yang dibuat itu mungkin terdesak. Saya tidak salahkan dia seratus peratus. Hati Yuka bersih.
Pasti apa yang berlaku ada juga salah saya, mungkin perbicangan secara tertutup paling penting sebelum diuar-uarkan kepada umum.
Aisha berkata demikian ketika ditemui di pelancaran lagu terbaharu XONE berjudul Langgar yang diadakan di sekitar ibu kota, pada Jumaat.
Enggan lagi memikirkan isu tersebut, Aisha bagaimanapun berkata, kenyataan yang dikeluarkan Kharisma Music International tidak sepenuhnya betul.
Isu itu tidak akan berhenti setakat itu sahaja, kerana apa yang dikatakan oleh pihak sana ada yang betul ada salah. Hanya pihak tertentu sahaja tahu yang mana betul yang mana salah.
Untuk sekarang ini, saya mahu fokus dengn karier. Saya cuba untuk mengabaikan seketika apa dikatakan pihak sana yang dakwa saya kurang profesional. Malah sehingga kini tiada perjumpaan dengan saya.
Tak trauma buat konsert
Menganggap isu yang berlaku sebagai hikmah, pelantun lagu Sutera ini sama sekali tidak berasa trauma untuk mengadakan konsert pada masa akan datang. Namun mengakui perlu lebih berhati-hati.
Saya mengambil insiden yang berlaku sebagai hikmah. Selepas isu pembatalan konsert semakin ramai juga yang mula mengenali saya.
Insya-Allah pada masa akan datang, saya akan lebih berhati-hati untuk berurusan dengan mana-mana pihak termasuk kawan sendiri.
Saya juga tidak trauma untuk mengadakan konsert pada masa akan datang. Segala yang berlaku ada sebab.
Sementara itu, disoal mengenai isu baki wang yang didakwa diberi pinjam ketika bertanding di pentas AJL38, Mac lalu, Aisha enggan memberi sebarang komen.
Terdahulu, penyanyi Yuka Kharisma selaku penaung Kharisma Music International menuntut Aisha membayar semula wang sebanyak RM83,000 yang dipinjamkan bagi merealisasikan persembahan ketika AJL38, Mac lalu.
Difahamkan, Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang dibatalkan itu menjadi kaedah pembayaran semula jumlah dipinjamkan kepada penyanyi itu.
Sebelum ini, Kharisma Music International memaklumkan Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang dijadualkan pada 16 November dibatalkan atas faktor jualan tiket.
Susulan pembatalan, Aisha meluahkan rasa kesal dengan tindakan penganjur membuat keputusan mengejut tanpa memaklumkan kepada dirinya terlebih dahulu.