Disebabkan pengalaman yang lepas, pelakon Aishah Azman memilih untuk lebih berhati-hati dalam hubungan percintaan.
Bukan fobia
Menurut Aishah, dia tidak pernah menutup pintu hati tetapi belum bertemu dengan lelaki yang diimpikan. Ditanya ciri-ciri yang perlu ada, aktres berumur 26 tahun ini memilih jejaka yang berpendidikan selain pandai menghormati orang tua.
Saya tak fobia, masih membuka pintu hati tapi belum berjumpa calon yang sesuai kerana saya lebih berhati-hati. Saya pun sudah ada pengalaman hal begini, jadi lebih mudah untuk saya tahu seseorang itu.
Paling penting dia perlu menghormati orang tua, hormati keluarga saya dan diri saya sendiri. Selain itu, antara ciri-ciri yang saya suka adalah berpendidikan.
Ini kerana bila seseorang itu ada pendidikan, dia lebih pandai untuk menyelesaikan masalah.
Aishah berkata demikian ketika ditemui di sidang media dan pelancaran supertelefilem Bangkitkan Aku Kembali di Laman NMR, Taman Setiawangsa, pada Rabu.
Bangkitkan Aku Kembali diadaptasi daripada karya novelis Sophilea di mana ia menampilkan genre seram sepenuhnya tanpa diselit unsur komedi dan lain-lain.
Selain Aishah, Bangkitkan Aku Kembali turut menampilkan pelakon lain seperti Amy Nur Tinie, Adam Corrie, Mustaqim Bahadon dan ramai lagi.
Nak orang biasa
Dalam pada itu, pemilik nama Nor Aishah Afika Azman Shah mengakui ada individu yang cuba mendekati tetapi dia menolak setakat ini.
Ada saja lelaki yang cuba dekati saya sekarang tapi saya memilih untuk tidak melayan. Sebolehnya saya tak mahu orang yang berkecimpung dalam industri hiburan, saya mahu orang luar.
Yang mendekati saya seperti yang saya cakapkan tadi itupun bukanlah golongan selebriti, mereka orang biasa. Mungkin juga menepati kriteria yang saya cakapkan tadi?
Pelakon drama Suri Katriana ini juga memberitahu dia sudah melupakan episod putus tunang dan kini sedang fokus mengembangkan karier seni.
Sumber: Instagram @aishahazman8