berita

Aishah Hilang 52 Kg Selepas Buat Pembedahan Bariatrik, Dedah Kualiti Suara Masih ‘Mantap’

December 17th, 2023 | by Shahrin
Kini Trending

Aishah

Penyanyi terkenal Datuk Aishah menyatakan tidak berlaku sebarang perubahan yang ketara pada suaranya selepas dia melakukan pembedahan bariatrik, enam tahun lalu.

Artikel Berkaitan: Alyah Nafi Buat Bariatrik Untuk Lakukan IVF – ‘Dapat Anak Rezeki, Tak Dapat Pun Rezeki’

Kualiti suara masih okay

Aishah

Ketika ditemui OhBulan!, Aishah berkata, suaranya menjadi lebih baik dan mudah untuk menyanyi selepas hilang sebanyak 52 kilogram menerusi pembedahan tersebut.

Secara peribadi, saya rasa suara saya tidak berkurangan (kurang power) selepas melakukan pembedahan bariatrik. Berdasarkan pemerhatian saya, malah lebih baik berbanding sebelum itu.

Ini kerana diafragma saya sebelum ini sedikit terhalang disebabkan saiz badan yang agak besar. Cuma bila berat menurun, suara akan jadi berbeza sedikit, placemnent suara beranjak, memang akan lain tapi tidak ketara.

Aishah berkata demikian ketika ditemui di majlis perlancaran Kempen ‘Lose To Win’ yang berlangsung di sekitar ibu kota, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut mengenai pembedahan bariatrik, pelantun lagu Janji Manismu itu berkata keputusan yang diambil bukan jalan pintas untuknya menurunkan berat badan.

Saya buat bariatrik 6 tahun lepas dan hilang sebanyak 52kg. Berat asal saya 110kg dan sekarang sekitar 58kg hingga 60kg. Ini bukan jalan pintas yang saya ambil untuk kurus.

Sebabnya, sebelum ambil keputusan untuk buat pembedahan, saya sudah cuba pelbagai cara termasuk pengambilan produk dan sebagainya. Sampai satu tahap, kaki saya sangat sakit dan susah berjalan.

Ini adalah keputusan yang terbaik saya buat dalam hidup, saya perlu buat pembedahan kerana tidak mahu jadi seperti beberapa orang ahli keluarga lain yang mengalami kesan teruk akibat berat badan berlebihan.

Dapat nikmat kesihatan itu lebih besar. Saya sangat gembira dengan kesihatan dan saiz sekarang, biar saya tak makan asalakn tak kembali pada zaman badan besar.

Bertindak sebelum menyesal

Aishah

Sementara itu, berkongsi mengenai Kempen ‘Lose To Win’, Aishah berkata ini merupakan peluang terbaik untuk mana-mana individu yang mengalami masalah berat badan melampau bagi mengubah masa depan mereka.

Kempen ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai. Melihat keadaan saya sekarang ini sudah tidak perlu risau untuk membeli pakaian.

Pesanan saya jangan ambil mudah dengan kesihatan, jangan sampai nikmat kesihatan itu sudah hilang baru rasa menyesal kelak.

Perlu lakukan sesuatu seperti menyertai kempen ini kerana impaknya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi kepada generasi akan datang. Tukar pemikiran anda bermula sekarang.

Saya harap bagi mereka yang merasakan nyawa mereka dalam bahaya, perlu cakna dan ambil tahu tentang kempen ini.

Kempen ‘Lose To Win’ ini dianjurkan oleh Persatuan Sukan, Rekrasi dan Kesihatan Kuala Lumpur (Su.Re Sihat KL).

Menerusi kempen ini, Su.Re Sihat KL mahu mengumpul dana bagi membantu 20 individu berpendapatan rendah (B40) untuk menjalani program pengurusan obesiti.

Turut hadir pada pelancaran kempen tersebut ialah penyanyi Datin Alyah, Doktor dan Pakar Saluran Gastro Usus dan Bariatrik, Doktor Mustafa.

Kempen ini juga akan menjadi salah satu tonggak utama Su.Re Sihat KL sebagai usaha mendukung inisiatif kerajaan dalam mempromosikan gaya hidup sihat di Malaysia.

SKIP THIS AD ×