Persembahan Naim Daniel ketika menyanyikan lagu ‘Mainan’ di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-37 semalam, ternyata mencuri tumpuan penonton yang berada di Stadium Axiata Arena dan di rumah. Mana taknya, Naim telah mencabar diri menyanyi dalam keadaan terbalik dan tergantung.
Kerja gila!
Menurut penerbit AJL Ke-37, Jamil Hassan, pihaknya sudah berbincang dengan kesemua finalis AJL sebulan awal, sebelum mereka melakukan persembahan, semalam. Disoal mengenai persembahan Naim Daniel, Jamil berkata pihaknya sudah beberapa kali bertanya mengenai hal tersebut kepada tuan empunya badan. Ujar Jamil, idea yang diberikan oleh Naim itu sangat luar biasa dan mengejutkan pihaknya.
Namun begitu, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel bin Baharin memberitahu dia pernah melakukan aksi tersebut sebelum ini.
Sebenarnya setiap persembahan kami dah buat persediaan dan perbincangan sebulan awal. Beberapa kali kami tanya betul ke dia nak buat macam tu. Dia kata nak buat. Dia bagi contoh dia pernah buat macam tu. Dia kata nak buat. Semasa persediaan props, dia pergi tengok sendiri penghasilannya. Kami pun buat pemeriksaan dan berapa lama Naim boleh tahan sekiranya tergantung macam tu.
Di samping itu, timbul pula pertikaian mengenai keputusan Persembahan Terbaik AJL37. Menurut netizen, Naim layak mendapat anugerah tersebut kerana berani buat ‘kerja gila’ di atas pentas. Tambah netizen, persembahan Naim telah mencipta fenomena dalam industri seni.
Bagi menjawab pertikaian tersebut, ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail berkata persembahan terbaik menjurus ke arah vokal juga. Kata beliau lagi, menyanyi secara ‘upside down’ boleh meninggalkan kesan terhadap vokal.