Penyanyi Alif Satar dan kumpulannya, The Locos berharap agar dikurniakan kesihatan yang baik ketika hari Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37.
Artikel Berkaitan: AJL37: Bawa Tema ‘Dimensi Muzik’, Sherry Alhadad & Jihan Muse Bergabung Sebagai Pengacara
Persiapan dan kelainan
Ketika ditemui Ohbulan!, Alif Satar & The Locos menyatakan persiapan pertama mereka sebagai satu kumpulan adalah pencarian baju yang sesuai dengan tema yang dikhususkan untuk AJL37.
Apabila ditanya tentang kelainan yang bakal disembahkan, Alif hanya memilih untuk menghormati tema AJL37 yang bertemakan Dimensi Muzik. Walau bagaimanapun, pelantun ‘Jangan Nakal’ itu menyatakan penyanyi Aina Abdul sedikit sebanyak membantu kumpulan itu dalam berinspirasi dari segi fesyen muzik.
Kita punya kelainan pun rasanya tiada sangat sebab kita memang nak menghormati tema itu sendiri, Dimensi Muzik. Tapi kita terinspirasi dengan Aina Abdul punya fesyen muzik tapi kami tone down sikit dengan semangat beliau.
Alif, 32, memberitahu bahawa konsep istimewa untuk kali ini hanyalah ingin mempersembahkan persembahan yang terbaik kepada semua penyokong Alif Satar & The Locos yang sentiasa mendengarkan lagu mereka.
Dalam pada itu, Alif juga ingin meraikan orang-orang hebat yang turut serta dalam membantu dalam menjayakan persembahan mereka untuk AJL37 daripada segi pencahayaan, pentas dan susunan muzik.
Saya nak bila penonton dengar, mereka akan rasa inilah band yang menunjukkan sebenarnya karyawan di Malaysia sangat berbakat daripada segala segi demi menjayakan sesebuah persembahan itu sendiri.
Alif & The Locos berkata demikian pada sidang media khas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 di Petaling Jaya Performing Art Centre (PJPAC), 1 Utama.
Minda kosong dan tenang
Selain itu, Alif Satar & The Locos merasakan kesemua finalis AJL37 memiliki kekuatan yang tersendiri. Walau bagaimanapun, Alif berharap agar lagu mereka iaitu ‘Anugerah Terindah’ turut ‘terselit’ bersama barisan penyanyi yang lain dalam senarai anugerah yang disediakan.
Tadi kami bincang ramai-ramai, banyak lagu yang best. Bila duduk sebelah Dayang, lagu dia dengan Amir Masdi best. Lagu Khai Bahar pun. Shila Amzah ada Kak Liza Hanim pulak, dengan vokal masing-masing.
Ditanya tentang pesaing yang dianggap sengit, Alif dan kumpulannya memberi tiga nama iaitu Joe Flizzow dengan lagunya ‘Satu Malam Di Temasek’, Shila Amzah & Liza Hanim ‘Bahagiakan Dia’ dan Khai Bahar ‘Sengsara’.
Dalam pada itu, Alif hanya mengharapkan kesihatan yang baik buat kesemua finalis AJL37 dan diberikan kelancaran dari segi menyanyi dan bermain alat muzik yang diperlukan ketika persembahan.
Saya berharap minda saya kosong dan tenang semasa menyanyi. Harap-harap persembahan kami ini dapat memberi ketenangan dan meninggalkan rasa keterujaan kepada para penonton seperti ‘persembahan yang cukup terindah’.
Sementara itu, pentas akhir AJL yang bakal berlangsung di Axiata Arena bakal dibahagikan dengan empat aras berbeza mengikut tiket. Jualan tiket dibuka dari 23 Januari di www.tonton.com.my.
AJL37 ditaja oleh penaja utama, Alha Alfa Cosmetics yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari ini.