Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel yang muncul dengan persembahan mengejutkan pada malam Anugerah Juara Lagu ke-37, Ahad lalu, menjelaskan telah mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor sebelum melakukan aksi tersebut.
Artikel Berkaitan: #AJL37: Memang Gempak! Naim Daniel Bikin Penonton ‘Heart Attack’, Selamba Menyanyi Terbalik
Artikel Berkaitan: #AJL37: Dah Bincang Sebulan Awal, Naim Daniel Berjaya Yakinkan Pihak Produksi Nak Menyanyi Tergantung
Dah rujuk doktor
Menurut penyanyi berusia 26 tahun ini, segala yang dilakukan di pentas AJL37 itu dibawah pengawasan dan latihan daripada pihak profesional termasuk team produksi TV3 di samping persiapan yang rapi selama beberapa hari.
Saya rujuk doktor sebelum buat persembahan. Ini kerana produksi TV3 sangat prihatin dengan apa yang saya lakukan. Latihan nyanyian dalam keadaan seperti terbalik juga mengambil masa antara tiga hingga empat hari. Untuk menjayakannya, saya mendapatkan pengawasan dan nasihat pasukan, produksi dan doktor.
Dalam pada itu, finalis yang mempertaruhkan lagu Mainan ini juga mengakui tidak sangka dirinya mampu menyanyi dalam keadaan sebegitu. Namun, selepas menjalani latihan dan mencubanya, akhirnya dia selesa melakukannya walaupun berdepan risiko besar.
Pada awalnya, saya tak percaya boleh melakukannya, namun saya jadi lebih selesa selepas beberapa kali mencubanya. Mengadakan persembahan dalam keadaan tergantung dan terbalik ada kemungkinan untuk suara jadi sengau atau tidak boleh menyanyi langsung.
Tetapi, saya sedaya upaya manfaatkan apa sahaja ilmu nyanyian dipelajari selama ini. Saya cuba bertenang dan pastikan ia berada dalam keadaan terkawal. Persembahan ini agak berisiko, tetapi saya dapat lakukannya dengan baik atas bantuan individu penting di sekeliling saya.
Tidak makan dan minum
Bukan itu sahaja, sebagai langkah berjaga-jaga, peserta program Family Duo ini juga mendedahkan dia terpaksa menahan diri daripada makan dan minum beberapa jam sebelum membuat persembahan.
Terdahulu, Naim Daniel mempersembahkan lagu nyanyiannya dalam keadaan terbalik dan tergantung hampir lima minit sehingga mencetuskan kebimbangan ramai.
Sumber: Berita Harian