Pelakon dan pengacara, Sherry Alhadad meluahkan rasa teruja dan berbesar hati apabila diberi peluang untuk mengacarakan anugerah muzik berprestij AJL37 bersama Jihan Muse.
Artikel Berkaitan: #AJL37: Aina Abdul Akan Terapung, Untuk Terus Hidup
Artikel Berkaitan: #AJL37: Joe Flizzow, Liza Hanim & Shila Amzah, Khai Bahar Jadi Pesaingan Sengit – Alif Satar & The Locos
Pengacara AJL37
Ketika ditemui dalam sidang media AJL37, pemilik nama Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad ini menjelaskan setiap kali diberi tanggungjawab untuk mengacarakan Anugerah Juara Lagu (AJL) , ia bukanlah satu tugas yang mudah.
Ujarnya, apabila menjalankan tugas tersebut, pastinya dia akan sentiasa mencari apa lagi yang boleh dilakukan atau ditambah baik dalam persembahannya.
Tanggungjawab itu sangat besar. Setiap kali nak buat, mesti akan berfikir apa lagi nak buat sebab kali pertama orang lihat kita di atas pentas AJL, orang akan menikmati tetapi bila sudah kali kedua atau ketiga mestilah orang ada harapan atau jangkaan yang lebih berkenaan apa yang kita akan beri.
Saat dinanti-nanti
Dalam pada itu, Sherry yang menganggap tugas pengacara adalah sebagai mewarnai acara berprestij tersebut, mengakui sangat gembira apabila diberikan peluang untuk bergandingan dalam satu pentas bersama sahabat baiknya yang juga pengacara, Jihan Muse. Malah ini merupakan saat yang dinanti-nantikan mereka sejak dulu lagi.
Saya dan Jihan sudah berkawan sejak sebelum bermula dalam industri lagi. Kami dua-dua anak teater. Saya selalu bercakap dengan Jihan kepada kita tak pernah bergandingan berdua. Bila waktunya? Jadi apabila kami dapat buat berdua kali ini saya rasa Ya Allah Alhamdulillah, syukur doa tu didengar.
Sebab saya adalah orang yang sentiasa nak bekerja dengan orang lain. Yang penting kita perlu sama-sama buat kerja, sama-sama beri idea. Jadi saya tak kisah dengan sesiapa.
Bagaimanapun, pengacara berusia 38 tahun ini menjelaskan, sesiapa pun yang bekerjasama dengannya sudah tentu dia mengharapkan mereka dapat melakukan yang terbaik. Bukan itu sahaja, yang terpenting baginya adalah doa dari semua pihak yang secara tidak langsung akan membantu dia dan rakan gandingannya itu.
Sekadar info, Sherry sudah empat kali mengemudi pentas AJL dan pernah bergandingan dengan Awal Ashaari, Aliff Satar dan Haziq Hussni. Konsert AJL37 bakal berlangsung di Axiata Arena pada 12 Februari 2023.