Penyanyi Aina Abdul mengakui mengeluarkan jumlah yang besar untuk persembahannya bagi lagu ‘Puas Sudah’ pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 39 (AJL 39).
Artikel Berkaitan: #AJL39: Marsha Milan Sebak Kenang Perjuangan 20 Tahun Dalam Industri, Kejuaraan ‘Hening Rindu’ Hadiah Bermakna
Artikel Berkaitan: #AJL39: ‘Top 3 Vokal Terbaik Adalah Ernie, Aina & Nadeera’ – Ketua Juri Dedah Perbezaan Markah Sangat Dekat
Berhabis banyak
Aina atau nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani, 31, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah yang sebenar, namun memberitahu tidak mencecah setengah juta.
Malah, katanya edisi kali ini paling banyak dia berhabis berbanding lima edisi sebelum ini termasuk AJL tahun lalu yang memakan kos RM400,000.
Saya tak boleh kongsi amaun sebenar sebab akan ada ‘benda’ lain yang mengejar nanti.
Tidaklah mencecah setengah juta, itu sudah seperti kos buat album atau bayar duit deposit pembelian rumah.
Kos yang banyak itu Alhamdulillah berbaloi sebab Allah beri rasa kemenangan untuk AJL39 kali ini. Namun, untuk AJL39 adalah yang paling banyak saya berhabis.
Aina berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media malam kemuncak AJL39 yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad.
Team Aina
Bercerita mengenai kemenangan Persembahan Terbaik yang berjaya membawa pulang RM12,000, Aina bersyukur dan berterima kasih kepada pasukannya yang bertungkus lumus.
Alhamdulillah, dapat rasa ‘oh begini rasanya menang persembahan terbaik’. Saya bawa lebih 100 orang untuk seluruh pasukan bagi menyiapkan semua persiapan yang mengambil masa berbulan-bulan.
Jadi, kemenangan ini juga adalah untuk mereka, daripada pasukan pentas, busana, lighting dan semua. Semua berjalan dengan lancar.
Konsep jantung
Dalam pada itu, Aina turut menjelaskan mengenai konsep persembahan yang dibawa ke pentas AJL39.
Saya tak fikir panjang ketika pilih konsep ini (jantung). Memang tak nampak warna lain untuk lagu ini selain merah.
Saya hanya medium untuk menyampaikan cerita tentang ramai wanita dan lelaki yang terluka dan melalui banyak kesulitan hidup di luar sana.
Jadi jantung adalah mesej terbaik untuk Puas Sudah. Saya tampil sebagai jantung sebab ini selayaknya.
AJL39 menyaksikan lagu ‘Hening Rindu’ nyanyian Marsha Milan dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM100,000.
Manakala, lagu ‘Bukan Lagi Kita’ nyanyian Nadeera diumumkan sebagai naib juara dan lagu ‘Saksama’ oleh Akim & The Majistret ditempat ketiga. Vokal Terbaik dimenangi Ernie Zakri menerusi lagu ‘Aura’.