Pelakon Ako Mustapha memaklumkan dia nekad untuk tidak mengambil minuman bergula selepas dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kencing manis kronik pada 2022.
Artikel berkaitan: Ako Mustapha Kena Suntik Insulin, Syukur Semakin Pulih & Dapat Pulang Ke Rumah
Setahun tak minum manis
Memetik laporan Harian Metro, Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha berkata, keputusan tersebut berjaya mengembalikan kesihatannya seperti dahulu.
Dari kurus kering, sekarang saya dah berisi balik. Semua orang komen saya nampak sihat semula berbanding dulu, tapi saya kena kawal makan dan minum.
Berat badan pun dah terlebih dan kena jaga semula dengan buat latihan kecergasan. Setakat ini saya pastikan tak ambil gula. Dah setahun lebih saya tak minum langsung air manis.
Bila minum air manis terasa pelik sebab saya dah biasa minum air kosong. Dah tiada keinginan untuk ambil gula. Rasanya macam ada ‘alarm’ dalam kepala yang kata jangan minum.
Menurutnya, penyakit kencing manis itu perlu sentiasa dikawal dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala setiap enam bulan.
Meneroka bidang perniagaan
Dalam perkembangan lain, Ako memberitahu dia masih aktif berlakon dan pada masa sama sedang mempelajari dalam bidang perniagaan.
Alhamdulillah, untuk Ogos saya dapat tawaran dan saya ada masa untuk ambil. Pada masa sama, saya nak ada produk sendiri dan jual. Itu fokus utama. Berlakon pula memang minat dari kecil.
Sekarang saya sedang belajar asas dalam perniagaan. Saya tak faham banyak perkara lagi seperti beli dan jual barang, berapa nak untung dan sebagainya.
Saya perlu belajar balik macam budak usia lima tahun. Saya jadikan Datuk Rosyam Nor sebagai mentor.
Sekarang saya bekalkan keropok ikan segera jenama Tokku yang dibuat di Terengganu ke ST Rosyam Mart. Syukur sambutannya bagus.
Sumber: Harian Metro