Setelah seminggu dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit kencing manis, pelakon, Ako Mustapha dikhabarkan semakin pulih dan sudah dibenarkan pulang ke rumah pada minggu lalu.
Tubuh tidak menghasilkan insulin
Menurut isteri Ako iaitu Kartina, suaminya perlu kembali ke hospital untuk menjalani prosedur perubatan lanjut.
Alhamdulillah, suami sudah sihat. Paras gula juga sudah kembali normal dan selera makan semakin bertambah berbanding sebelum ini. Bagaimanapun, suami perlu menjalani rawatan susulan dalam tempoh dua bulan lagi. Masa suami tiba di HKL, keadaannya seperti nyawa-nyawa ikan. Mujur tindakan pantas dan kecekapan doktor, keadaan kesihatan Ako kembali pulih.
Cuma doktor ada berpesan jangan abaikan pengambilan ubat supaya kejadian sama tidak berulang. Terima kasih kepada semua pihak termasuk keluarga, rakan dan peminat atas doa yang dititipkan. Kami sekeluarga amat menghargainya.
Sementara itu, Ako berkata, seminggu dirawat di hospital mengajarnya banyak perkara termasuk lebih memahami penyakit kencing manisnya itu.
Saya diberi pencerahan mengenai penyakit yang sebelum ini saya tidak pernah tahu. Tak boleh makan ubat sembarangan kerana setiap manusia, walaupun mengidap penyakit sama, tetapi tindak balas tubuh berbeza-beza. Macam keadaan diri saya, tubuh saya langsung tidak menghasilkan insulin. Sekarang saya kena suntik insulin sebagai kaedah rawatan.
Sumber: Berita Harian