berita

‘Aku Dikurung Dalam Keranda Selama 7 Tahun, Hanya Dibenarkan Keluar Untuk Dirogol & Didera…’

January 22nd, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Siapa di sini pernah tengok filem ‘Girl In The Box’? Kalau korang nak tahu, jalan cerita filem tersebut telah diinspirasikan dari kisah sebenar kes penculikan seorang gadis iaitu Colleen Stan.

Colleen bukan sahaja diculik dan didera tapi dia juga telah menjadi hamba seks seorang lelaki ‘psiko’ selama tujuh tahun. Tergamak pula tu berpakat dengan isteri dia ‘kurung’ Colleen di dalam keranda. Kejam! Jom ikuti kisah mengerikan ini.

Diculik van biru

Colleen ketika berusia 20 tahun (Foto: The Sun)

Kisah ini bermula apabila seorang wanita yang dikenali dengan nama Colleen Stan atau nama sebenarnya Colleen J. Stan yang dilahirkan pada 31 Disember 1956 telah diculik antara tahun 1977 hingga 1984. Kejadian ini berlaku semasa Colleen dalam perjalanan menghadiri majlis hari jadi rakannya.

Semasa dalam perjalanan seorang diri, wanita yang berusia 20 tahun ketika itu telah disapa oleh sepasang suami isteri iaitu Cameroon Hooker berusia 23 tahun dan Janice, 19 tahun. Pasangan ini yang memandu sebuah van biru telah menawarkan bantuan ingin menumpangkan dan menghantar Colleen ke destinasi yang ingin ditujunya.

Colleen pada awalnya ingin menolak pelawaan tersebut tetapi selepas melihat ada seorang bayi di dalam van berkenaan, dia akhirnya bersetuju. Walaupun begitu, Colleen mengakui sepanjang perjalanan, dia mempunyai satu perasaan buruk terhadap pasangan ini.

Pasangan ini kemudian berhenti di stesen minyak dan Colleen meminta kebenaran untuk menggunakan tandas. Semasa di stesen minyak, Colleen berkata seakan terdengar satu ‘suara’ yang menyuruhnya melarikan diri tetapi sayangnya Colleen langsung tidak mengendahkan ‘amaran’ tersebut.

Ada suara suruh aku lari dan lompat keluar dari tingkap dan jangan sesekali pandang ke belakang.

Jadi hamba seks Cameroon

Head Box yang digunakan (Foto: The Sun)

Colleen mengakui itu adalah satu keputusan yang membuatkan dia menyesal seumur hidup. Sehinggalah ketika dalam perjalanan, dia ternampak satu peti kayu yang kalis bunyi berada di tempat duduk van berkenaan. Tetapi siapa sangka, Colleen telah ‘ditipu’ hidup-hidup. Malah, apa yang membuatkan Colleen berasa lebih bimbang adalah tindakan Cameroon dan Janice yang mengikat tangannya dan memasukkan kepala wanita ini ke dalam ‘head box’ atau ‘peti kepala’ sebelum dikunci.

Cameroon dan Janice sebenarnya telah membawa Colleen ke sebuah kawasan terpencil sebelum menuju ke rumah mereka. Setibanya di rumah, pasangan ini telah meletakkan Colleen ke dalam bilik bawah tanah. Mereka mendera serta menjadikan Colleen sebagai hamba seks. Cameroon telah merogol Colleen. Malah suami isteri ini juga tergamak melakukan seks di hadapan Colleen kononya untuk menyambut kehadiran Collen. Memang kejam!

Saya ketakutan. Isterinya memerhati si suami menyeksa saya dan mereka melakukan hubungan seks di hadapan saya. Saya yakin mereka pasti akan membunuh saya.

Cameroon kemudian telah membuat satu peti kayu seperti saiz keranda dan diletakkan di bawah katil Cameroon dan Janice. Peti tersebut telah dibuat sedikit lubang supaya Colleen boleh bernafas tetapi dia diharamkan membuat bising dan langsung tidak dibenarkan keluar dari peti itu walaupun saat Janice melahirkan anak keduanya di atas katil tersebut. Bila ingin mendera dengan renjatan elektrik dan merogol Colleen, barulah mereka keluarkan dia dari peti itu.

Janice dedah perkara sebenar

Gambar ketika Cameroon menyamar jadi teman lelaki Colleen (Foto: The Sun)

Cameroon juga memberitahu Colleen bahawa setiap pergerakannya itu akan dipantau oleh satu sindiket jenayah berbahaya iaitu The Company. Mereka akan menembak tepat di kepala Colleen sekiranya dia melanggar arahan pasangan ini. Mereka juga mengugut untuk membunuh Colleen dan keluarga sekiranya dia cuba melarikan diri.

Pasangan psiko ini juga telah memaksa Colleen untuk menandatangani satu kontrak persetujuan supaya dia menjadi hamba Cameroon dan Janice seumur hidup. Selepas menandatangani kontrak pada tahun 1978,  Colleen telah diberikan sedikit kebebasan iaitu dia dibenarkan keluar dari peti itu selama satu jam sahaja untuk mengemas rumah Cameroon dan Janice.

Malah dia diberi kelonggaran untuk menjaga dan menemani anak-anak pasangan ini berjoging, bermain di taman dan sebagainya. Kalau ikutkan, terlalu banyak peluang yang boleh digunakan Colleen untuk melarikan diri tetapi sayangnya dia langsung tidak menggunakan peluang tersebut. Hal ini kerana, dia berasa takut dengan ugutan dan ‘The Company’  yang sememangnya tidak wujud itu.

Pada tahun 1981, Colleen telah diberi peluang untuk berjumpa dengan keluarganya sambil ditemani oleh Cameroon. Cameroon pada ketika itu menyamar sebagai teman lelaki Colleen. Walaupun begitu, Colleen masih tidak membuka mulut menceritakan perkara sebenar kepada ahli keluarganya.

Colleen larikan diri

Isteri Cameroon iaitu Janice (Foto: The Sun)

Pada tahun 1983, Colleen telah diberi kebebasan dan menjalani kehidupan sebagai manusia normal. Cameroon kemudian menjadikan Colleen sebagai isteri keduanya tetapi tindakan seakan tidak mendapat persetujuan Janice. Oleh hal itu, pada tahun 1984, segala-galanya berakhir apabila Janice akhirnya membuka mulut menceritakan perkara sebenar kepada Colleen.

Menurut Janice, pada awalnya Janice suka melihat Colleen diseksa. Dia kemudian mengatakan kepada Colleen bahawa dia juga pernah mengalami nasib yang sama iaitu diserang seksual dan dipukul sejak dia bertemu dengan Cameron ketika berusia 15 tahun.

Dahulu, Janice telah digantungkan pada pokok sambil tangannya digari, kepalanya ditenggelamkan ke dalam air sehingga hampir lemas dan akan dipukul sekiranya tidak mengikut perintah suaminya itu.

Tidak tahan diperlakukan sebegitu rupa, Janice akhirnya membuat persetujuan untuk mancari seorang mangsa untuk dijadikan sebagai hamba Cameroon iaitu dengan menggantikan tempatnya. Ternyata, mangsa yang dimaksudkan adalah Colleen.

Aku telah diculik, dikurung dalam keranda selama 7 tahun dan dibenarkan keluar untuk dirogol dan didera.

Cameroon dijatuhi hukuman

Cameroon dijatuhi hukuman (Foto: The Sun)

Colleen seterusnya membuat keputusan untuk melarikan diri. Janice telah menghantar Colleen ke stesen bas sebelum Janice melarikan diri bersama dua orang anaknya. Colleen kemudian menelefon Cameroon mengatakan dia sudah pun keluar dari rumah tersebut dan perkhabaran itu telah membuatkan Cameroon menangis.

Walaupun sudah bebas tetapi Colleen tidak melaporkan perbuatan jahat Cameroon kepada pihak polis sebaliknya dia terus berhubung dengan Cameroon dengan harapan lelaki itu akan berubah. Tetapi sayang akhirnya, Cameroon telah ditahan selepas Janice sendiri membuat laporan polis.

Menurut sumber, pada awalnya Cameroon telah didakwa atas kesalahan menculik, mendera dan membunuh seorang gadis yang telah hilang sekitar tahun 1976 iaitu Marie Elizabeth Spannhake. Namun, disebabkan tiada bahan bukti dan mayat Marie juga tidak ditemui, maka Cameroon tidak dikenakan tindakan.

Tetapi Cameroon telah dijatuhkan hukuman penjara selama 104 tahun kerana menculik, mendera dan melakukan serangan seksual. Namun, dia dikatakan boleh mendapatkan pembebasan awal melalui parol seawal tahun 2021. Sementara itu, Janice tidak dikenakan sebarang tindakan kerana telah memberi keterangan terhadap kes Cameroon. Janice dan Colleen yang kini berusia 62 tahun dikatakan telah menukar nama mereka dan menetap di California.

Filem ‘Girl In The Box’

Kalau korang nak tahu, kisah penculikan Colleen ini juga dijadikan sebuah filem yang bertajuk Girl In The Box dan telah ditayangkan pada tahun 2016.. Filem ini diinspirasikan dari kisah sebenar Colleen Stan.

Sumber: The Sun, Mirror UK, Youtube

SKIP THIS AD ×