Sejak semalam, nama Janna Nick menjadi trending di Twitter setelah pelakon tersebut berbalas komen dengan netizen mengenai garis panduan filem di Malaysia. Masing-masing mengeluarkan pendapat sendiri sehingga berlaku peperangan mulut. Menurut pelakon itu, filem di Malaysia memerlukan garis panduan supaya perkara negatif tidak menjadi ikutan masyarakat.
Kaitkan filem dengan apa berlaku
Perkara itu bermula apabila Janna memberi pendapat mengenai beberapa gambar kejadian di dewan parlimen Amerika Syarikat apabila penyokong-penyokong parti menyerang ahli politik sehingga mengakibatkan berlaku rusuhan. Janna mendakwa insiden di dalam dewan parlimen itu adalah disebabkan pengaruh filem The Purge menyebabkan rakyat negara terbabit terpengaruh untuk melakukan hal sebegitu sehingga tidak menghormati sistem politik negara.
Tambahnya lagi, ini antara sebab mengapa industri perfileman di Malaysia menjaga garis panduan yang ketat agar insiden seperti itu tidak berlaku. Walau bagaimanapun, pendapat Janna Nick mendapat tentangan ramai yang rata-ratanya merasakan filem-filem di Malaysia tidak dapat berkembang lebih jauh memandangkan adanya garis panduan tidak masuk akal dari penapisan filem negara.
Berlaku pergaduhan mulut
Perkara itu membuatkan ramai yang memberi pendapat masing-masing dan Janna tetap mempertahankan pendapatnya sehingga berlarutan. Ada yang mengaitkan dengan mutu filem dan drama lakonan pelakon itu yang tidak bagus. Tidak tahan menerima kritikan, Janna meluahkan rasa terkilan dengan segala komen yang diterima.
Saya kecewa
Akhir kata, Janna memberitahu bahawa setiap orang mempunyai hak untuk bersuara. Dia turut tidak berkecil hati sekiranya ada pihak yang tidak terbuka untuk menerima pandangan peribadinya.
Sumber : Janna Nick