Sebelum ini, penyanyi dan penerbit muzik, Damian Mikhail memuat naik sebuah kenyataan di media sosial berhubung isu produk sambal milik pempengaruh Khairul Aming diciplak oleh peniaga lain.
Menyedari kenyataannya itu mengundang pelbagai reaksi negatif dalam kalangan netizen, Damian dipercayai memadam kenyataan tersebut di laman X dan tampil memberi penjelasan secara terperinci kepada netizen.
Artikel Berkaitan: Produk Sambal Kena Ciplak, Khairul Aming Sudah Kumpul Bukti & Bakal Ambil Tindakan Sepatutnya
Bukan tuju kepada Khairul Aming
Di Instagram, Damian berkata, dia dan isteri merupakan peminat KA dan sentiasa meletakkan rasa hormat kepada individu itu atas pencapaian dan sikapnya.
Aku tanya soalan awal, tuju kepada netizen taksub, bukan kat KA. Kalau tak faham bahasa, pergi balik ke sekolah. Kalau hati busuk, zikir dan istighfar banyak-banyak.
Aku sendiri minat dan hormat KA. Bahkan, aku sendiri pernah muat naik dan ‘tag’ dia sebelum-sebelum ini, memuji dia kat Instagram. Isteri aku pun ikuti resipi-resipi dan kandungannya yang positif dan bermanfaat. Kalian ini bikin fitnah aku, tak baik tahu? Habis isteri aku pun marah aku semalam. Faham tak? Ke saya perlu lukis juga?
Menurut Damian, dia menyokong tindakan KA mengikut prosedur undang-undang.
Aku tak pernah cakap aku tak sokong pun mana-mana pihak yang ingin mempertahankan hak mereka. Akulah antara orang industri yang dah lama aktif dan lantang bersuara melawan plagiat, ciplak dan paling menekankan soal berjuang untuk hak cipta dan hak milik artis atau mana-mana karya. Bak kata ‘budak-budak sunat laser’, Terpaling Aktivis.
Aku tak pernah cakap aku sokong kerja atau orang yang menciplak. Hakikatnya, kalian yang pakar-pakar IP (harta intelek) belaka pun pakai gambar profil, gambar curi internet pun tak beretika sebenarnya. Aku tak cakap pun KA salah di dalam mana-mana situasi itu. Aku sokong dia ambil tindakan kerana ada ‘locus standi’ (hak atau kapasiti untuk mengambil tindakan) dalam kes ni.
Tambah Damian, dia faham mengenai IP walaupun situasi yang berlaku kepada KA mungkin berbeza dengan situasi yang berlaku kepada golongan anak seni di dalam industri.
Dia bukan pertikai sambal, tapi benda diketahui dan spesifik macam pembungkusan, harta intelek atas nama ‘Nyet’, warna, logo, susun atur label, kad ucapan, ‘copywriting’ dan pembentangan keseluruhan produk dan jenama.
Kalau dah ada tanda perniagaan yang sudah didaftarkan, maka lagilah dia boleh teruskan tindakan saman. Aku juga tahu bezakan, situasi adalah berbeza tapi membabitkan IP. Resipi pun adalah IP.
Aku tak sebodoh orang-orang yang tak reti nak baca dan hadam hantaran cuit jenaka ini semua sangka. Semua benda pun nak emosi.
Bila produk bagus dan laris macam produk KA, orang akan tiru. Betul, orang kata ‘imitation is the sincerest form of flattery’, tapi tak bermakna kita boleh suka-suka buat perlanggaran IP. Setuju?
Di akhir posting, Damian memohon maaf kepada semua sekiranya hantarannya sebelum ini menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen.
Sumber: Damian