Juara program Pentas Marhaban, kumpulan Al Maqari menegaskan bahawa kemenangan mereka sama sekali tidak mempunyai hubung kait dengan pengacara program berkenaan, Tilmiz Fahmi yang juga merupakan salah seorang ahli kumpulan mereka.
Artikel Berkaitan: Tilmiz Fahmi Nafi Pengaruh Keputusan Pihak Produksi Pilih Al Maqari Sebagai Peserta Pentas Marhaban
Fokus tak terganggu
Ketika ditemui OhBulan!, ketua kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Ahmad Ibrahim Azam berkata, sekiranya perkara tersebut menjadi satu isu, sudah tentu ia akan dimaklumkan oleh pihak produksi lebih awal kepada pihak mereka.
Kami terima segala bentuk penilaian sama seperti kumpulan lain terima tetapi mungkin adanya kelebihan yang terletak pada individu dalam kumpulan kami.
Kalau nak sebut tentang tak adil tu, pada saya tidak juga sebab kami pergi ke sesi ujibakat.
Andai kata kami tak dibenarkan masuk dan sebagainya, masa ujibakat lagi mungkin pihak produksi dah maklumkan lebih awal.
Ibrahim berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media Pentas Marhaban akhir yang diadakan di TV Alhijrah, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ibrahim memaklumkan bahawa meskipun terpalit dengan beberapa kontroversi itu tidak mematahkan semangat mereka dan sama sekali tidak mengganggu fokus ahli kumpulan lain dalam memberikan yang terbaik sepanjang saingan program tersebut.
Perkara tersebut boleh saya katakan tidaklah mengganggu fokus kami sebab kami sendiri dimaklumkan oleh pihak produksi bahawa tiada sebarang isu pun.
Kami sendiri memang nak maklumkan yang pengacara (Tilmiz) adalah sebahagian daripada kumpulan kami dan memang kami ada kaitan.
Cuma, sepanjang saingan program ini kami bersifat profesional, tidak lebih sebagai hos dan peserta.
Sekadar info, kumpulan Al Maqari diumumkan sebagai juara Pentas Marhaban dan berjaya membawa wang tunai sebanyak RM50,000.
Terdahulu, pengacara Pentas Marhaban iaitu Tilmiz Fahmi mendedahkan dirinya menerima hantaran DM di Instagram daripada pengikut yang mempertikaikan pembabitan kumpulannya, Al Maqari di program berkenaan selepas dia bertindak sebagai pengacara program itu.
Namun begitu, pengacara berusia 23 tahun itu menafikan dirinya mempunyai kuasa dalam menentukan senarai peserta bagi program realiti terbabit.