Suami kepada pelakon Fatin Afeefa, Aliff Awang tampil memohon maaf berhubung tindakannya sebelum ini yang seakan memperlekehkan kereta jenis bukan supercar pada sebuah acara pertunjukkan kereta baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Fatin Afeefa Ada Sebab Tak Bawa Anak Pergi Umrah – ‘Saya 157cm Pun Kena Penyek, Bayangkan…’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fatin Afeefa Tunai Umrah Bersama Suami
Mohon maaf
Aliff atau mesra dengan panggilan Opai berkata, video yang tular tersebut diambil secara spontan ketika acara sedang berlangsung dan tiada niat ingin menjatuhkan nama mana-mana pihak.
Jelasnya lagi, kenyataan yang dikeluarkan hanya sekadar gurauan dan ditujukan kepada rakan-rakan terdekatnya sahaja.
Berhubung video saya yang sebelum ini viral, saya ingin buat sedikit penjelasan. Video berkenaan dibuat sangat spontan ketika waktu itu.
Sebenarnya kenyataan yang dibuat pada waktu itu ditujukan kepada kawan-kawan saya yang bawa kereta Mustang, kereta AMG yang datang pada hari itu dan tidak dapat masuk untuk sertai event pada hari itu.
Bukan secara terbuka untuk hentam mana-mana individu mahupun kumpulan yang membawa kereta tersebut.
Memang sangat spontan, semua orang juga tengah berseronok ketika itu. Tiada niat untuk jatuhkan sesiapa. Saya mohon maaf.
Permohonan maaf itu dibuat Aliff menerusi satu hantaran video pendek di Instagram Stories (IG Story) miliknya sebelum dikongsikan semula oleh seorang pengguna di laman TikTok.
Reaksi netizen
Meskipun Aliff sudah mengakui silap dan memohon maaf, namun rata-rata wargamaya masih kurang berpuas hati dengan tindakannya.
Malah, ada juga segelintir netizen yang berseloroh mengatakan, Aliff memohon maaf kerana merasa takut.
Terdahulu, Aliff dilihat menyertai satu acara pertunjukkan 100 buah supercar yang diadakan di Pavilion Kuala Lumpur.
Aliff kemudian memuat naik sepotong video dengan berpesan kepada pemilik kereta bukan jenis supercar supaya tidak hadir pada acara berkenaan. Antara kereta yang disebutnya dalam video itu termasuk jenis FK8R, AMG, Mustang dan Honda pekak.
Susulan itu, tindakan Aliff telah mengundang pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan netizen termasuk selebriti, Wak Doyok.
Malah, video tersebut turut mendapat perhatian Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman apabila baginda menasihati agar tidak bersikap sombong serta memandang rendah pada mana-mana pemilik kereta tanpa mengira jenis kenderaan.
Sumber: TikTok