Pempengaruh dan usahawan, Kieda Crepe meluahkan rasa syukur terhadap penangkapan suspek bagi siasatan kes kecurian barang kemas dari rumah pada April lalu.
Artikel berkaitan: Rumah Kieda Crepe Dirompak, Barang Kemas & Duit Berjumlah RM800,000 Lesap – ‘Kami Hidup Dalam Keadaan Trauma’
Artikel berkaitan: ‘Awak Semua Kata Saya Menunjuk, Saya Cuma Pakai Barang Yang Ada’ – Kieda Crepe
43 hari tunggu jawapan
Menerusi perkongsian di TikTok, Kieda atau nama sebenarnya Siti Nur Khalieda Yusra akhirnya menerima khabar gembira selepas 43 hari daripada hari rompakan tersebut berlaku.
Sedih bukan sebab apa hilang barang hari Khamis malam Jumaat, dapat jawapan juga hari Khamis petang Jumaat. Terima kasih yang tak putus-putus mendoakan Kieda dengan Amy.
Terima kasih banyak-banyak untuk yang selalu beri kata-kata semangat. Allah Taala Maha Berkuasa, Allah yang mengetahui segala-galanya, Allah Maha Perancang dan Allah pilih Kieda dengan Amy (suami) untuk lalui fasa-fasa ujian yang mana tak semua orang boleh hadapi seperti mana kami hadapi. Syukur Alhamdulillah.
Dalam pada itu, suaminya iaitu Muhammad Hilmi atau lebih mesra disapa Amy akui berat untuk melalui ujian yang menimpa mereka.
Ramai orang cakap pada kami untuk berdamai dengan takdir pasti suatu hari nanti akan menemui jalan kebenaran. Allah akan hadirkan.
Kadang-kadang manusia belum diuji sudah bersangka baik, ketika diuji pun tetap bersangka baik. Itulah yang paling berat kami lalui untuk tahun ini.
Dia tak boleh nak berkata apa yang tersirat di hati ini, hanya Allah je yang tahu selama 43 hari ni macam mana perit yang kami hadap, macam mana trauma yang kami hadap sampai lah saat ini suspek-suspek yang disyaki sudah pun ditangkap oleh pihak PDRM.
Tambah Kieda, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya memberkas penjenayah berkenaan.
Untuk pihak PDRM, Kieda dan Amy mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah atas tangkapan di mana kita mencari selama 43 hari ini.
Semoga dengan tangkapan ini dapat memudahkan segala urusan yang mana Kieda dan Amy dah buat laporan dan pihak polis menjalankan siasatan dengan tulus, InsyaAllah.
Terdahulu, Kieda mendedahkan dia telah mengalami kerugian sekitar RM800,000 selepas rumahnya dipecah masuk perompak.
Pada 6 Jun, pihak polis telah menahan suspek empat sekawan yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 27 tahun bagi siasatan kes kecurian barang kemas dari rumah Kieda di Pokok Sena, Butterworth, Pulai Pinang pada 25 April lalu.
Difahamkan, pihak polis berjaya merampas barangan kemas bernilai RM40,000 dipercayai milik usahawan tersebut selepas sebahagian besarnya sudah dijual.
Sumber: TikTok, Berita Harian