Pelawak dan pelakon, Along Cham dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas dua pertuduhan memilik dadah jenis Kanabis.
Artikel Berkaitan: Pelawak Tiba Di Mahkamah Sepang Dengan Kenderaan Polis Bagi Pertuduhan Miliki Ganja
Artikel Berkaitan: Pelawak Along Cham Ditahan Polis, Disyaki Miliki Ganja Dalam Rumah
Mengaku tidak bersalah
Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad selaku tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan itu dibacakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa ada dalam milikannya, bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di kediamannya di Cyberjaya pada 14 Disember lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun, dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin sementara tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadly Hashim.
Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari tahun depan.
Pertuduhan kedua
Manakala bagi satu lagi pertuduhan, Along yang didakwa ada dalam milikannya, bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 2.07 gram mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Dan bagi pertuduhan itu pula, Along didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara selama lima tahun ada kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Along untuk diikat jamin sebanyak RM2,500 bagi pertuduhan kedua dan mahkamah telah menetapkan 28 Februari 2025 sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelawak itu ditahan oleh sepasukan anggota polis bersama dua paket lutsinar disyaki ganja pada Sabtu.
Siasatan polis menemui dua peket lutsinar yang setiap satunya mengandungi leraian disyaki daun ganja anggaran berat keseluruhan 60.3 gram.
Hasil ujian air kencing yang dibuat juga menunjukkan suspek positif dadah tetrahydrocannabinol (THC).