berita

Alumni Gesa MRSM Gantung Khidmat Guru Keluar Kenyataan Sensitif Isu Rogol

July 6th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Baru-baru ini, video seorang guru Bahasa Melayu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling mencuri perhatian netizen apabila dia mendakwa kebanyakan kejadian rogol berlaku adalah disebabkan perilaku wanita yang rambang sehingga menarik perhatian pesalah seksual.

Susulan daripada itu, Alumni MRSM Baling menggesa pihak sekolah untuk menegur dan menggantung tugas guru tersebut. Di samping itu, mereka berharap pihak sekolah dapat mengeluarkan kenyataan dan mengesahkan bahawa mereka tidak menyokong “victim blaming”.

Didakwa mengeluarkan kenyataan kontroversi

Menerusi laporan Malaysiakini, Alumni MRSM mendakwa guru lelaki yang dikenali sebagai Mohd Norazizi Samsudain telah mengeluarkan kenyataan kontroversi dan berunsur seksis berkenaan isu gangguan seksual baru-baru ini di media sosial. Sebagai pendidik, Norazizi perlu diberikan teguran.

Tindakan sedemikian menunjukkan penyalahgunaan kedudukannya sebagai pendidik dengan sangat tidak beretika, menanamkan pandangan seksual kepada para pelajar, kami menggesa agar Mohd Norazizi Samsudain ditegur kerana melakukan tindakan yang melanggar peraturan etika profesionalnya sebagai pendidik MRSM.

Bagaimanapun, dengan mempertimbangkan kesemua faktor, kami menasihati agar beliau hanya digantung dan bukan ditamatkan tertakluk kepada kuasa budi bicara Mara. Kami juga menggesa MRSM Baling supaya mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa mereka tidak menyokong “victim blaming” dan memastikan segala tindakan diambil demi persekitaran yang selamat dan kondusif.

Tidak menggambarkan diri sebagai guru

Terdahulu, Norazizi telah memuat naik video di Instagram, Youtube dan Twitter mengenai sebab kebanyakan kejadian rogol berlaku. Namun, video tersebut telah dipadam selepas rata-rata netizen memberi kritikan. Dalam video itu juga, guru tersebut mendakwa kebanyakan kejadian rogol berlaku adalah disebabkan perilaku wanita yang rambang sehingga menarik perhatian pesalah seksual. Dia turut mendakwa, berdasarkan kajian hanya dua daripada 10 kes rogol adalah benar.

Sebagai seorang pendidik yang ditugaskan mengendalikan belia dan pemimpin masa depan, penggunaan bahasa kesat (demeaning) dan kenyataan menghina tidak menggambarkan diri sebagai seorang guru yang berkemahiran, profesional dan kompeten.

Norazizi turut menjelaskan bahawa mangsa yang wajar dipersalahkan dalam kejadian rogol, dia tetap berpandangan sedemikian meskipun telah mengalihkan fokus berkenaan isu pelajarnya di kelas, menolak pandangan lain yang disokong oleh pelajarnya sambil menekankan bahawa hanya pandangannya sendiri yang dapat diterima. Jelas, perilaku ini adalah menunjukkan penyalahgunaan kapasitinya sebagai pendidik.

Memohon maaf

Kesal akan kesalahan yang dilakukan, Norazizi kemudian memuat naik satu video permohonan maaf atas kenyataannya di akaun Instagram.

Saya dengan rendah hati ingin membuat permohonan maaf terbuka kepada semua berkenaan kandungan sensitif saya yang tidak berdasarkan fakta benar, video saya telah disalah tafsir dan menyinggung hati ramai pihak. Saya juga telah memberi pandangan tanpa melihat gambaran besar dan skop realiti dengan lebih luas. Saya juga, tanpa sedar menggunakan bahasa kesat yang tidak bersesuaian dengan masyarat pelbagai lapisan agama, kepercayaan dan norma budaya di negara ini. Saya amat menyesali tindakan memuat naik video tersebut tanpa memperoleh pendapat dari pihak lebih arif.

Ujarnya lagi, dia berjanji tidak akan mengulangi tindakan tersebut dan menafikan dirinya sebagai penyokong perogol. Ekoran daripada itu juga, satu petisyen telah diwujudkan dan netizen menggesa Norazizi dipecat sebagai pendidik di MRSM Baling.

Sumber: Malaysiakini

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×