Pelakon, Alya Iman meluahkan rasa kecewa apabila menjadi sasaran kecaman netizen susulan dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai punca pergolakan rumah tangga pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin.

Artikel Berkaitan: Zizi Kirana Enggan Ulas Hal Peribadi, Perkongsian Disalah Tafsir Ramai Pihak – ‘Yang Kenal, Akan Faham’

Artikel Berkaitan: ‘Unfollow’ Akaun Media Sosial, Zizi Kirana & Yusuf Bahrin Okay Tak?

Buat laporan polis

Menerusi hantaran di Instagram Story, Alya atau nama penuh Nur Alya Iman Azmil, 24, menegaskan bahawa segala tuduhan yang dilemparkan adalah tidak berasas dan telah menjejaskan kerjaya seni serta kesihatan mentalnya.

Saya ingin mengeluarkan kenyataan rasmi berikutan satu isu yang sedang tular dalam media sosial yang mengaitkan nama saya sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan selebriti.

Akibat daripada isu ini, saya menjadi sasaran tohmahan dan fitnah netizen yang menyebarkan pelbagai kenyataan tidak berasas, mencaci, serta melabel saya.

Segala tuduhan tersebut adalah fitnah yang mencemarkan nama saya. Disebabkan penyebaran fitnah ini, saya mengalami tekanan, kehilangan reputasi, dan kerjaya saya turut terjejas akibat kecaman terbuka oleh masyarakat.

Spekulasi dan kata-kata kesat yang dilemparkan secara bebas dalam media sosial berlaku tanpa sebarang bukti yang sah.

Sebagai langkah perlindungan diri, Alya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Saya juga berharap agar tindakan ini dapat memastikan keadilan ditegakkan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.

Tujuan saya mengambil tindakan ini adalah sebagai pengajaran kepada mana-mana individu agar lebih bertanggungjawab terhadap apa yang disebarkan, lebih-lebih lagi dalam dunia media sosial yang mudah menularkan maklumat yang belum tentu benar.

Dalam pada itu, Alya turut mengakui bahawa dirinya bukan insan sempurna dan mengambil iktibar daripada kesilapan lalu.

Saya tidak menafikan pernah melakukan kesilapan sebelum ini. Namun, saya berusaha memperbaiki diri dan tidak akan mengulangi kesilapan tersebut. Apa yang penting sekarang adalah untuk terus melangkah ke hadapan.

Isu ini tercetus selepas Alya dan Yusuf dilihat membintangi drama yang sama, dan pada masa sama netizen mula menyedari Zizi dan Yusuf tidak lagi saling mengikuti akaun media sosial masing-masing.

Susulan itu, Alya menerima pelbagai kecaman hingga terpaksa menutup ruangan komen di media sosialnya.

Sumber: Instagram