berita

‘Ambil Inisiatif Kuarantin Kendiri & Tubuh Pasukan Khas’ – Semangat Kejiranan Penduduk Desa Puteri Tangani Covid-19 Wajar Dicontohi

October 26th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Di Desa Puteri, Rawang, Selangor, semua penduduk bersatu padu dan menunjukkan semangat kejiranan yang sangat utuh selepas mereka mengetahui salah seorang jiran mereka positif Covid-19. Malah, kesemua mereka turut menjalani kuarantin kendiri dan cakna dengan situasi yang berlaku.

Semangat kejiranan yang utuh

Saya ada satu kisah sedap. Begini ceritanya. Poyonya pendahuluan begini ya Allah. Nak dikisahkan, kawan sepejabat yang duduk sebelah saya juga sama dikesan positif Covid 19. Rumah dia di Desa Puteri, Rawang. Kalau saya ada simptom yang tak berapa teruk, simptomnya jauh lebih teruk. Batuk dia lebih teruk daripada batuk saya. Kalau dia batuk, bunyi gong gong gong macam nak tercabut paru-paru sumpah saya tak tipu. Hantu pun lari kalau dengar dia batuk. Punyalah kuat. Pun saya tak tipu.

Dan itulah salah satu sebab dia dibawa ke hospital lebih awal daripada saya. Sekarang, dia pun sudah selamat keluar, beransur pulih dan sudah ajak saya pergi mandi sungai. Syukur pada Tuhan. Yang saya nak tulis dalam post kali ini bukanlah tentang simptom, atau tentang siapa nak hadiahkan sebuah tumbler Starbucks ada gambar Alpaka kepada saya, atau pengalaman duduk di pusat kusta, atau menu dalam hospital atau hal-hal lain.

Kali ini saya nak berkongsi tentang betapa semangat kejiranan yang sangat utuh ditonjolkan dalam kalangan penduduk di Desa Puteri, Rawang. Kerana apa saya cakap begitu? Lepas jiran-jiran dapat tahu kawan saya ini positif, mereka ambil inisiatif untuk menjalani kuarantin kendiri. Ada juga yang maki hamun kerana katanya kawan saya ini penyebar wabak bla bla bla. Tapi itu tak menjadi masalah kerana majoriti yang lain, tetap faham dan cakna dengan situasi. Bila faham, kalut jadi kurang. Bila tak faham, maki jadi banyak.

Siap tubuh pasukan petugas

Penduduk siap tubuhkan pasukan petugas dengan bilik gerakan khas bagi memudahkan urusan penduduk. Jadi bolehlah petugas ini handle orang yang keliru dan tak berapa faham dengan apa yang patut dibuat. Power tak powerlah dia punya semangat kejiranan. Siap ada bilik gerakan Covid 19. Segala info dan status semua mereka update di bilik gerakan. Sangat sistematik dan membantu pihak PKD @ KKM dalam menyalurkan maklumat terkini.

Penduduk sekitar, Adun dan NGO juga turun beramai-ramai bagi memberikan bantuan makanan dan keperluan kepada penduduk yang terjejas khususnya kepada 31 daripada 2,000 penduduk yang dikesan positif. Laju-laju Korona buat kerja, laju lagi masyarakat turun membantu. Hebat. Tapi sebenarnya ada yang lagi laju iaitu ambulans yang bawa pesakit ke Sungai Buloh. Tak percaya tak apa.

Jiran-jiran buat bacaan Yaasin ramai-ramai bersama pesakit secara atas talian. Ini paling bagus. Ini paling saya tabik. Dalam kekalutan handle itu ini dan virus Korona masih mengganas mencari mangsa, mereka gagah boleh baca Yaasin ramai-ramai online. Selalunya kita ini bila gelabah, tak ubah macam lipas celah laci terbau ubat gegat, mengaji sepatah dua pun lupa. Tapi mereka boleh mengaji ramai-ramai termasuklah kawan saya yang duduk terbatuk-batuk dekat hospital itu.

Semoga dijadikan contoh

Cukuplah empat. Cukuplah empat point ini yang saya tulis agar kita semua sedar, betapa kita ini masing-masing sangat memerlukan di antara satu sama lain untuk terus hidup dengan aman. Ingatlah, kera pun memerlukan kera lain untuk mencari kutu di kepala sendiri, apatah lagi kita manusia. Ha gitu perbandingan cipta sendiri.

Saya harap tulisan saya ini sampailah ke mana-mana FB penduduk Desa Puteri dan mereka semua sepatutnya merasa sangat berbangga dengan apa yang telah mereka tonjolkan. Sungguh, benda-benda bagus begini sedikit sebanyak akan menjadi model, titik tolak lalu titik jatuh dan contoh terbaik kepada kejiranan yang lain.

Terima kasih Hadi Zuhri, kerana berkongsi info, gambar dan video yang diambil jiran-jiran Desa Puteri. Kepada pembaca, Hadi lah kawan saya yang sama positif Covid 19. Dia juga lah yang batuk gong gong gong kuat sampai hantu pun lari. Dan dia bos saya. Mantap.

Sumber: Abdul Fatah Abu Hanipah

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×