Diberi kepercayaan menjadi tunjang utama dalam filem di usia yang muda, pelakon Amir Ahnaf meluahkan rasa syukur di atas peluang tersebut.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Balik Rumah, Duduk Atas Sofa & Tonton Netflix’ – Amir Ahnaf
Artikel Berkaitan: Angel Dolla Terharu Peminat Tidak Putus Beri Sokongan Ketika Nama Terpalit Kontroversi Amir Ahnaf
Peluang dan ruang
Amir atau nama lengkap Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, berkata, dia menghargai peluang yang diberikan kepadanya selaku peneraju utama filem prekuel, Kahar: Kapla High Council yang bakal menerjah pawagam pada 28 November ini.
Kata Amir, dia menggalas tanggungjawab diberikan sebaiknya dan sentiasa berusaha mempamerkan mutu lakonan yang berkualiti.
Saya bersyukur dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan, ini merupakan sebahagian daripada proses untuk saya sebagai pelakon. Bersyukur juga hasil kerja dilihat dan dihargai.
Saya pikul tanggungjawab diberikan dengan sebaiknya. Lagi pula, penghasilan sesebuah filem bukan hanya saya seorang, tetapi hasil kerja ramai pihak. Perasaan sangat bangga, gembira, teruja dan bercampur baur.
Amir berkata demikian ketika ditemui di sidang media filem prekuel, Kahar: Kapla High Council yang berlangsung di Setia City Mall, Shah Alam, baru-baru ini.
Bakat
Dalam pada itu, aktor berusia 24 tahun ini mengucapkan terima kasih kepada sutradara Anwari Ashraf yang melihat bakatnya.
Terima kasih kepada Anwari sebab dia yang pada awalnya memberikan saya watak Kahar dalam drama bersiri Project: High Council sehingga mendapat sambutan yang luar biasa dari peminat.
Sejak dari situ, ramai juga yang nampak bakat saya untuk membintangi drama-drama. Ini juga bukti muka Melayu seperti saya boleh mendapat tempat dalam industri.
Selain Amir, turut hadir pada majlis sidang media tersebut barisan pelakon Kahar: Kapla High Council yang lain iaitu Aedy Ashraf, Fadhli Masoot, Sky Iskandar, Fazziq Muqris, Ayie Khairie, Thompson Goh, Khenobu dan Hasnul Rahmat.
Tanpa potongan LPF
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Kahar: Kapla High Council merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata, filem tersebut bersih dan tanpa sebarang potongan Lembaga Penapis Filem (LPF), namun masih mendapat klarifikasi 18 tahun.
Filem ini bersih dan tiada sebarang potongan daripada LPF selepas kami beritahu mesej filem untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kempen anti keganasan dan buli.
Saya juga memuji lakonan barisan pelakon dalam filem yang luar biasa. Saya yakin filem ini sekali lagi akan mencipta fenomena seperti mana drama bersiri Project: High Council.
Kahar: Kapla High Council mengisahkan Kahar, pelajar tingkatan 4 yang pendiam dan kerap menyisihkan diri di KUDRAT, malah sering berasa tertekan kerana bapanya, Datuk Abu Yamin meletakkan harapan tinggi.
Berpunca daripada satu insiden, tanpa sengaja Kahar terjerumus dalam ‘Pilihan Raya’, di mana calon setiap rumah asrama KUDRAT bertarung untuk menjadi Kapla iaitu ketua kepada High Council, selaku ‘pemerintah’ tidak rasmi bagi seluruh badan pelajar.