Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat bersyukur apabila anak perempuannya, Ana Nayla dilamar menjadi duta untuk beberapa jenama.
Artikel Berkaitan: Netizen Kecam Jadi Juara, Ayda Jebat Terima Dengan Hati Terbuka
Takut penat
Ketika ditemui OhBulan!, Ayda mengakui timbul perasaan risau untuk membenarkan Nayla ‘bekerja’ pada awalnya.
Bagaimanapun, selepas berbincang dengan suami iaitu Nabil Mahir, aktres berumur 31 tahun berkata mereka meletakkan syarat sekiranya mahu mengambil Nayla sebagai duta.
Nayla bakal menginjak usia dua tahun pada September ini. Mula-mula memang saya dan suami risau, takut Nayla penat mahu menjalani penggambaran atau sesi fotografi.
Bukan mudah untuk menjalani penggambaran dan sesi fotografi, orang dewasa pun penat, apatah lagi bayi.
Namun, saya fikirkan ini rezeki anak dan barangan yang mahu menjalin kolaborasi pun sesuai untuk bayi dan kanak-kanak serta Nayla pun memang menggunakan jenama terbabit.
Jadi, kami letakkan syarat jika mahu melakukan sesi penggambaran dan fotografi, mestilah ia dihabiskan secepat mungkin.
Cerita pemilik nama Nur Suhada Jebat, Nayla memberikan kerjasama yang baik sepanjang berada di set penggambaran.
Syukur, ketika sesi terbabit berlangsung, Nayla suka dengan suasana di set penggambaran. Kami memberikan Nayla rehat secukupnya serta memainkan lagu kegemarannya ketika sesi terbabit.
Ayda berkata demikian ketika majlis pelantikan dirinya, Nabil dan Nayla sebagai duta produk jenama barangan bayi dan kanak-kanak terkemuka Itali, Chicco, di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC KL), baru-baru ini.
Selain itu, Chicco turut melancarkan produk terbaharu mereka iaitu ‘sterilizer’, ‘dryer, ‘bottle warmer’ dan ‘MYSA stroller’.
Sudah ada akaun simpanan
Dalam pada itu, pelantun lagu Parah Parah menyifatkan peluang yang ditawarkan Chicco sebagai rezeki untuk simpanan Nayla pada masa depan.
Kata Ayda lagi, dia menyimpan semua bayaran yang diterima dalam akaun simpanan yang dibuka sejak Nayla berusia enam bulan.
Nayla sudah ada akaun bank sejak usianya enam bulan. Semua bayaran yang diterima Nayla disimpan dalam akaun miliknya.
Selain itu, saya dan suami juga memperuntukan bayaran yang kami terima dalam setiap kerja seni dan kerjasama dengan jenama untuk Nayla.
Kerjasama Chicco ini memang kami anggap rezeki Nayla. Kami memang menggunakan produk ini semenjak Nayla lahir dan ia memang berkualiti serta mudah untuk digunakan.
Semoga apa yang diterima Nayla boleh digunakan untuk pendidikan dan masa depan Nayla.
View this post on Instagram