Pelawak dan usahawan Shuib, 36, menyatakan ketiga orang anaknya di rumah masih belum mengetahui yang ibunya sudah meninggal dunia.
Artikel Berkaitan: Siti Sarah Meninggal Dunia
Artikel Berkaitan: Jenazah Siti Sarah Selamat Dikebumikan Di Gombak
Balik rumah baru bagitahu
Foto: Tangkap layar Instagram @shuibsepahtu
Menurut Shuib, dia akan memberitahu berita duka ini sejurus dia sampai ke rumah selepas pulang dari Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak.
Buat masa ini, anak-anak saya belum tahu lagi. Ini saya nak balik.. baru nak bagitahu. Doakan urusan saya dipermudahkan.
Jutaan terima kasih kepada semua
Dalam pada itu, pemilik nama Shahmira Muhamad sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang tidak pernah berhenti mendoakan kesejahteraan arwah Sarah sepanjang dia berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM).
Saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang bersusah payah adakan masa, adakan usaha untuk isteri saya sepanjang berlaku kejadian ini.
Saya ucapkan terima kasih atas solat hajat, atas bacaan Yasin dan sedekah. Hanya Allah yang dapat membalas budi itu.
Saya balikkan doa-doa itu kepada kalian semua. Saya doakan semuanya diberkati, dilindungi dan dirahmati insya-Allah.
Untuk yang sedang bertarung nyawa, saya doakan Allah permudahkan urusan.
Siti Sarah telah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat pandemik COVID-19, jam 5.13 pagi ini.
Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat.
Pada hari sama, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, dan terus menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus kelmarin namun semalam Shuib memberitahu keadaan Sarah kembali kritikal selepas menurun 40 peratus.
Sarah sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas mereka menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif wabak itu.
Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011 dan mendapat tiga cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.