Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim memaklumkan pihaknya akan mengaturkan pertemuan dengan pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz berhubung isu Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan 2023.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Anak Aziz Desa Sedih Kemenangan Anugerah Ikon Belia Digugurkan Saat Akhir – ‘Kurang 24 Jam Dapat Panggilan, Mereka Batalkan’
Aturkan pertemuan
Menerusi hantaran di platform X, Adam berkata pertemuan tersebut bertujuan untuk merungkai dan menyelesaikan isu yang didakwa kemenangan yang sepatutnya milik Zhiddin digugurkan di saat akhir.
Kami faham perasaan dan mungkin ketidakpuasan hati Zhiddin berkait isu tempoh hari. Dia bebas untuk luahkan perasaan menerusi medium pilihannya.
Zhiddin ada potensi yang baik sebagai contoh buat golongan belia. Banyak ruang yang tersedia buatnya, malah dia sendiri berhasil cipta ruang sendiri.
Memandangkan terlalu banyak perkara yang berbentuk spekulasi timbul sehingga mengheret banyak pihak, saya kira adalah baik agar pertemuan diadakan untuk rungkai isu ini secara baik.
Saya sudah minta pejabat untuk hubungi Zhiddin dan segera aturkan pertemuan antara kami dalam minggu akan datang ini.
Terdahulu, Zhiddin yang juga anak kepada pengacara popular era 90-an, arwah Aziz Desa mendakwa kemenangannya bagi kategori Ikon Belia Influencer telah ditarik sewaktu majlis APBN 2023 yang berlangsung, baru-baru ini.
Malah, Zhiddin turut mendakwa dia ada menerima panggilan telefon kurang dari tempoh 24 jam daripada pihak penganjur mengenai pembatalan kategori tersebut.
Selain itu, dia juga mendakwa pihak penganjur tidak memaklumkan kepadanya mengapa kategori yang sepatutnya menjadi miliknya itu digugurkan.
Sumber: X