Anak bongsu kepada pelakon Dharma Harun Al-Rashid iaitu Muhammad Al Syafiq Mohammad Azman, 35, enggan terburu-buru berhenti daripada pengajiannya yang hanya berbaki dua bulan.
Artikel berkaitan: PMX Hulur Bantuan Kepada Sarimah Ahmad & Dharma Harun – ‘Semoga Mereka Dikurniakan Afiyah’
Perlu habiskan pengajian
Memetik laporan Harian Metro, Muhammad Al Syafiq yang dijangka selesai Ogos ini disarankan oleh pensyarah untuk menghabiskan pengajian sebelum mencari kerja tetap untuk menampung kewangan keluarga.
Saya adalah pelajar cemerlang dan keputusan peperiksaan juga antara yang terbaik. Jadi, saya disarankan oleh pensyarah supaya habiskan pengajian dulu sebelum mencari kerja tetap untuk menampung kewangan keluarga.
Oleh itu, saya harus bertahan sampai Ogos depan. Insya-Allah, selepas tamat saja pengajian nanti, saya akan cuba dapatkan kerja tetap dan bayar sewa rumah serta bantu ayah dan keluarga.
Disoal tentang masalah kewangan yang dihadapi keluarga, Muhammad Al Syafiq berkata, Dekan Pusat Pengajian Asasi Aswara iaitu Dr Erdina Nasseri merupakan individu yang banyak menghulurkan bantuan.
Malah, dia juga ada membuat kerja sambilan selepas waktu kelas pengajian bagi membantu keluarganya dari segi kewangan.
Dekan tahu saya ada masalah kewangan dan dia pun banyak membantu hingga segan dibuatnya, termasuk mendapatkan saya bantuan dari Aswara. Secara peribadi, dekan memang banyak bantu saya selama ini.
Saya juga sebenarnya ada buat kerja sambilan pada sebelah petang dan malam di kafe sebelum ini untuk mencari pendapatan. Cuma, sekarang ada projek akhir pengajian dan susah sikitlah untuk saya bekerja.
Apapun, saya tak kisah orang nak cakap apa sebab tahu apa yang saya buat dan Allah juga tahu. Ketika saya bekerja dulu, dapatlah juga RM300 sebulan dan digunakan untuk membayar bil elektrik dan air, serta apa-apa yang patut.
Terdahulu, Dharma, 68, yang popular dengan watak Cikgu Azmi dalam filem Adik Manja terpaksa akur dengan arahan mengosongkan kediaman yang disewanya di Wangsa Maju kerana gagal membayar sewa tertunggak.
Pelakon yang kini berhadapan masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar itu difahamkan kusut memikirkan bagaimana dia hendak melunaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM7,500 berikutan notis sudah dikeluarkan oleh pemilik.
Menurut Dharma, dia dan dua orang anak, iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq, 35, diberi tempoh sehingga akhir bulan ini dan sukar untuk melunaskan bayaran kerana anak-anaknya juga tidak bekerja dan masih belajar.
Susulan itu, timbul persoalan mengapa anak-anak pelakon itu masih tidak habis belajar kerana masing-masing sudah melewati usia 30-an dan sepatutnya sudah bekerja, sekali gus dapat membantu bapa mereka menyelesaikan masalah kewangan ditanggung.
Sumber: Harian Metro