Sebagai seorang ibu, pelakon, Noralbaniah menyifatkan insiden yang menimpa anaknya, Syarra Sudarman yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah sehingga dijatuhkan hukuman penjara sebagai satu ujian hidup buatnya.
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Saya Cleaner, Itu Satu Pekerjaan Yang Baik’
Ujian seorang ibu
Ketika ditemui Oh Bulan!, Noralbaniah menjelaskan, perkara yang berlaku adalah tidak diduga dan pada awalnya agak sukar untuk dia menerima serta berhadapan dengan pertanyaan orang ramai.
Bagaimanapun, kini hatinya lebih tenang untuk menerima ujian Allah serta berlapang dada. Malah, dia akui disebabkan tragedi tersebut menjadikan dirinya lebih kuat.
Mana ada ibu bapa yang mahukan anaknya menjadi sebegini. Benda ini berlaku tanpa saya duga. Tapi apa yang terjadi ini, saya terima dan saya reda. Mungkin apa yang berlaku hari ini, akan menjadikan seseorang itu lebih baik di kemudian hari.
Dan ada orang yang menghukum saya, tapi saya terangkan begini, anak saya bukan berusia 18 tahun, kalau 20 tahun ke bawah, saya boleh tegur dia. Tapi dia sudah berusia 28 tahun, jadi janganlah kecam, janganlah kata saya salah didik anak. Ini ujian untuk saya, dan alhamdullillah saya kuat.
Kalau dulu mungkin saya kurang matang, tapi sekarang saya boleh terima dan berhadapan dengan orang ramai. Iyalah dulu bukan ada media sosial, tiada viral semua ini. Sekarang tak boleh buat silap, semuanya naik di media sosial.
Noralbaniah berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Vik2ria Secret yang diadakan di TGV KLCC, pada Selasa.
Melanjutkan bicara, pelakon era 90-an itu berkata dia ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada pihak media yang menghubunginya sebelum ini dan bertanya mengenai perkara tersebut.
Ada seorang wartawan menghubungi saya dan saya tahu mengenai berita itu dari dia, tidak dapat dia bayangkan bahawa betapa terduduknya saya apabila mendapat tahu.
Saya bukan pengguna media sosial yang bangun pagi saja terus tengok berita terkini. Jadi saya tahu daripada panggilan media dan jujurnya sangat terkejut.
Ketika disoal mengenai perkembangan anaknya, Noralbaniah berkata Syarra sudah pun dibebaskan sejak Mac lalu dan kini berada dalam keadaan yang baik.
Jelasnya lagi, dia juga sering melawat anaknya itu meskipun perasaan sedih masih menyelebungi diri.
Alhamdullillah dia elok saja. Saya ada pergi melawatnya di Melaka sebelum ini dan kerana dia berkelakuan baik, dia dibenarkan keluar awal iaitu sekitar Mac lalu.
Anak saya pun bukan calang-calang orang, dia berpendidikan tinggi dan juga lulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL). Jadi bila terjadi semua ini, saya sedih juga. Ya mungkin salah pilih kawan tapi saya tak mahu cakap lebih sebab ia sudah pun berlaku.
Itulah satu-satunya anak saya bersama Sudarman. Saya berkahwin dengan Sudarman hanya dua tahun dan tidak berkahwin sampai sekarang, itu orang tak tahu.
Terdahulu, media melaporkan Syarra Sudarman mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah dan dikenakan hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Majistret Saiful Sayoti turut mengarahkan tertuduh menjalani tempoh pengawasan selama tiga tahun.
Bagi pertuduhan pertama, Syarra didapati memiliki dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.72 gram di sebuah hotel di Kuala Pilah pada pukul 11.45 pagi, 12 Oktober tahun lalu. Atas kesalahan tersebut dia dikenakan hukuman penjara lapan bulan bermula tarikh ditahan.
Pertuduhan kedua pula dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kepada diri sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada pukul 3 petang, tarikh sama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan bagi kesalahan berkenaan.
Untuk info, Syarra adalah anak kepada Noralbaniah hasil perkongsian hidup dengan bekas pelumba kereta iaitu Allahyarham Sudarman Daud. Sudarman meninggal dunia pada 10 Jun 1996 akibat kemalangan jalan raya.