Demi mengejar impian untuk bergelar penyanyi, seorang remaja berusia 19 tahun sanggup menaiki bas seorang diri ke Johor Bharu bagi menjalani ujibakat program realiti nyanyian, One In A Million (OIAM).
Artikel Berkaitan: Pesara Guru, Azman Beranikan Diri Sertai Uji Bakat OIAM Di Usia 61 Tahun – ‘Jika Menang RM1 Juta, Saya Nak Bawa Keluarga Ke Tanah Suci’
Artikel Berkaitan: Sakit Gout Bukan Penghalang Rikostria Datang Uji Bakat OIAM – ‘Saya Dah Bersiap Dari Pukul 7 Pagi’
Datang naik bas
Remaja lelaki yang dikenali sebagai Mohammad Fateh nekad untuk mengubah kehidupannya dan keluarga yang kini sedang menjalani perniagaan menjual karipap pusing di Selangor.
Bukan hanya semangat dirinya tetapi sokongan dan dorongan daripada keluarga serta rakan secara tidak langsung memotivasikan Fateh untuk terus berusaha mengecapi impiannya dalam bidang nyanyian.
Jika terpilih, saya bercita-cita untuk mengubah aliran industri muzik Malaysia dengan menghasilkan karya yang bukan hanya berkisar tentang cinta.
Saya ingin memperkenalkan lagu-lagu yang memberi makna mendalam tentang alam dan kehidupan, dengan mengolahnya dalam genre terkini agar lebih mudah diterima oleh pendengar.
Menerusi pendekatan lagu-lagu tersebut, ia secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada pendengar untuk lebih menghargai keadaan sekeliling dan keindahan dunia.
Nak masuk kelas vokal
Dalam pada itu, Fateh meluahkan hasratnya untuk menimba ilmu vokal daripada Cikgu Sarah. Dia juga percaya dan yakin bahawa kebolehan dan bakatnya dapat digilap di bawah bimbingan Cikgu Sarah.
Melihat beliau sebagai juri membuatkan saya berasa gementar, tetapi semangat untuk membuat beliau terkesan sangat membara dalam diri saya.
Saya percaya bimbingan beliau akan membantu saya mencapai impian saya dalam dunia muzik.
Sekadar info, selepas hampir 15 tahun, OIAM kini kembali untuk musim baharu dengan sesi uji bakat mencari bintang baru diadakan di Karnival Jom Heboh (KJH) Johor Bahru 2024, yabg telah berlangsung pada 2 dan 3 November lalu.
Bertempat di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall, sesi uji bakat OIAM bermula pada jam 9 pagi hingga 8 malam dengan guru vokal terkenal, Cikgu Sarah Ismail dan komposer, AG Coco sebagai juri.
Selepas Johor Bahru, uji bakat bersemuka OIAM akan diteruskan lagi di lima lokasi seluruh Malaysia iaitu di Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Lumpur, iaitu pada setiap hujung minggu antara 9 hingga 17 November ini. Lokasi uji bakat akan diumumkan dalam masa terdekat.
Namun begitu, buat mereka yang tidak berkesempatan untuk menyertai uji bakat secara bersemuka boleh sertai uji bakat secara dalam talian bermula pada 1 hingga 17 November ini.
Apa yang ada perlu buat hanyalah memuat naik video nyanyian anda berdurasi satu minit di TikTok dengan hashtag rasmi #CalpisOIAMTV3 dan #SegarRasaSodapSuara.