
Penyanyi Indonesia, Andmesh, dijangka kembali memukau peminat di Malaysia dengan konsert eksklusif bertajuk ‘ANDMESH Love Story: Suara Dari Ketulusan Hati’ yang akan diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 14 Februari 2026.
Artikel Berkaitan: Nidji X Bunkface Gegarkan Pentas Nusa Fest 2025 Pada 21 Disember Ini
Artikel Berkaitan: Terkenang Pemergian Ibu & Bapa, Nyanyian Syahdu Andmesh Kamaleng Bikin Satu Dewan Menitis Air Mata
Konsert berprestij

DTC Entertainment Sdn Bhd akan menganjurkan konsert ini, yang dijangka menjadi salah satu persembahan paling berprestij pada tahun hadapan.
Populariti Andmesh Kamaleng, 28, terus melonjak selepas memenangi pelbagai anugerah di Indonesia, serta lagu-lagunya yang sentiasa menguasai carta serantau, menjadikan konsert ini amat dinantikan peminat.
Sejak menjuarai Rising Star Indonesia pada 2017, Andmesh telah ditempatkan sebagai salah satu penyanyi paling berpengaruh dalam industri muzik Indonesia.
Karya-karyanya bukan sahaja mencatat jutaan penstriman, malah kerap menjadi tular di Malaysia, Singapura, Brunei, serta beberapa negara Asia lain.
Beberapa lagu popular yang melonjakkan nama Andmesh termasuk ‘Cinta Luar Biasa’, yang meraih ratusan juta tontonan di YouTube dan diiktiraf sebagai salah satu lagu cinta paling terkenal di Asia Tenggara.
Selain itu, lagu yang cukup puitis, iaitu ‘Hanya Rindu’ turut mencuri perhatian dan memenangi anugerah Best Pop Solo Performance di Indonesia.
Lagu ‘Kumau Dia’ turut menonjolkan kemampuan vokal Andmesh dan menjadi siulan popular di seluruh Asia Tenggara.
Di samping itu, lagu-lagu lain seperti ‘Anugerah Terindah’, ‘Nyaman’ dan ‘Jangan Rubah Takdirku’ terus membuktikan bakat luar biasa Andmesh serta konsistensinya dalam industri muzik.
Sokongan luar biasa

Tidak dinafikan setiap persembahannya pasti mendapat sambutan hangat dan sentiasa dipenuhi penonton yang menghayati lagu-lagunya sambil bernyanyi bersama.
Sebelum ini, konsert solonya di Kuala Lumpur juga berjaya memukau peminat, dengan kekuatan dan konsistensi vokalnya yang terus meninggalkan kesan mendalam.
Di tanah air ini, peminat Andmesh sentiasa menunjukkan sokongan luar biasa terhadap muziknya, menjadikan Malaysia salah satu lokasi utama dalam jelajah konsertnya.
Berbicara tentang konsert terbaru ini, Andmesh menzahirkan kegembiraannya untuk bertemu semula dengan peminat di Malaysia.
Malaysia selalu punya tempat istimewa di hati saya.
Energi dari penonton di sini selalu luar biasa.
Konsert Suara Dari Ketulusan Hati ini sangat ‘personal’ kerana ia membawa perjalanan muzik saya sejak awal hingga sekarang.
Saya ingin peminat merasai setiap cerita di balik lagu-lagu saya.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Cinta Luar Biasa’ turut menjanjikan susunan muzik lebih segar serta kejutan istimewa yang eksklusif bagi peminat di Malaysia.
Penjualan tiket bagi konsert ‘ANDMESH Love Story: Suara Dari Ketulusan Hati’ kini boleh didapati melalui laman web rasmi www.ticket2u.com.
Terdapat pelbagai kategori tempat duduk untuk dipilih, termasuk VVIP (RM1,088), Platinum (RM888), Platinum Wing (RM728), Diamond (RM688), VIP (RM588), Gold (RM458), Diamond Wing (RM488) dan Bronze (RM238).
Bagi mereka yang memilih standing, tiket Silver ditawarkan pada harga RM388.






