Gitaris Projector Band iaitu Angah memberitahu dia sudah menubuhkan syarikat sendiri iaitu AR Muzik sejak tahun 2022 selepas kecewa dengan syarikat label sebelum ini.
Artikel Berkaitan: Angah Projector Band Dedah Kisah Sebenar Penubuhan Satu Band, Tolak Tuduhan Balas Dendam – ‘Rasa Mereka Malas Nak Selidik’
Buat duit sendiri
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Angah atau nama sebenarnya Razif Zainuddin berkata, idea tersebut terdetik selepas dia tidak menerima bayaran yang setimpal meskipun lagu ciptaanya berjudul Aisyah menerima sambutan luar biasa di Malaysia dan Indonesia.
Banyak perubahan sebenarnya sebab kalau dulu di bawah syarikat muzik jadi kami tak tahu di mana nilai lagu kita, macam lagu Sudah Ku Tahu cecah 40 juta tontonan tapi tak tahu berapa YouTube bayar.
Rasanya bukan saya saja yang tak tahu tapi artis lain juga sama, jadi saya ambil peluang waktu zaman pandemik untuk tubuhkan studio rakaman dulu kemudian belajar selok belok sebelum wujudkan AR Muzik.
Kalau ikutkan saya dah kaya sebab lagu Aisyah viral di Indonesia tapi ada seorang individu beritahu yang rupa-rupanya saya ada duit banyak sebabkan lagu tu tapi tak fikir sangat sebab tak belajar tentang kontrak, tapi bila belajar baru tahu dan rasa nak marah.
Tambah Angah, dia bersyukur dapat mengenali seorang individu yang banyak memberi semangat kepadanya untuk membuka syarikat rakaman sendiri.
Rezeki dapat jumpa dia. Saya ambil peluang belajar macam-macam seperti kontrak dan royalti. Kalau diikutkan saya dah kaya. Dulu saya buat lagu dan cari artis bagi dekat label. Bila difikirkan balik, baik saya buka label, rekod dan cari artis sendiri. Buat duit sendiri. Tiga tahun saya belajar recording, balik tanya mak boleh tak nak buka studio. Mulanya dia terkejut dan berleter saya cat dinding rumah warna hitam. Lama-lama dia okey.
Berbicara lebih lanjut, Angah mengakui dia dapat berjimat selepas mempunyai studio rakaman sendiri.
Dulu kalau nak sewa beberapa jam mahal. Sekarang semua dah ada. Saya keluar duit sikit demi sedikit untuk buat studio.