Anggota kumpulan Dolla, Angel didakwa menjalinkan hubungan istimewa dengan aktor Amir Ahnaf gara-gara kehadirannya ke konsert Dolla Re:Birth The Experience pada Sabtu lalu.
Artikel berkaitan: FOTO: Dolla Lincah, Pukau Ribuan Peminat Di Konsert Sulung
Artikel berkaitan: Syasya Rizal Dedah Angel Dolla Orang Pertama Tahu Hubungan Dengan Nasrullah – ‘Mula-Mula Saya Cakap Kawan Je’
Hanya sekadar berkawan
Bagaimanapun, Angel tampil menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu mereka hanya sekadar berkawan baik.
Menurutnya, kehadiran Amir ke konsert pada malam itu sekadar memenuhi jemputan sebagai kawan dalam industri.
Amir adalah kawan saya. Dia tanya saya, boleh ke kalau datang ke konsert Dolla? Sudah tentu kami akan mengajak kawan dan berharap dia menikmati persembahan kami.
Jadi saya jemput Amir secara peribadi dengan seorang lagi pelakon Haziq Dean untuk menyaksikan konsert Dolla. Pada malam itu, mereka datang berdua.
Selain Amir, kami juga ada menjemput ahli keluarga dan kawan-kawan untuk menikmati konsert ini.
Angel berkata demikian semasa ditemui pada sesi temu ramah mesra usai konsert Dolla Re:Birth The Experience Gathering di Universal Music, Petaling Jaya, pada Selasa.
Perkenalan dengan Amir
Dalam pada itu, Angel menjelaskan perkenalan dengan Amir bermula selepas kerjasama mereka untuk menjayakan sebuah projek.
Saya mula mengenalinya ketika kami sama-sama merakamkan video TikTok untuk mempromosikan sebuah karnival jualan Hari Raya tahun lalu.
Sejak itu, kami mula berkawan dan dalam masa sama, saya juga berkawan dengan pelakon-pelakon drama Projek High Council yang turut sama menjayakan penggambaran itu.
Terdahulu, kehadiran Amir ke konsert sulung Dolla mengundang tanda tanya dan spekulasi netizen mengenai hubungannya dengan Angel.
Difahamkan pada malam konsert tersebut, Amir terus bergegas ke konsert Dolla selepas selesai terlibat dalam pertunjukan fesyen di ibu kota.