Penyanyi, Ariff Bahran meluahkan rasa terkejut dengan kenyataan mengatakan dirinya mahu berhenti menyanyi selepas menyuarakan pendapatnya tentang industri nyanyian tanah air.
Artikel Berkaitan: Ariff Bahran Dedah Punca Perlahan Karier Menyanyi – ‘Industri Ini Sangat Toksik & Bias’
‘Bila masa saya kata?’
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, pemilik nama Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari memuat naik tangkap layar tajuk artikel ditulis sebuah portal hiburan yang mengatakan dirinya tidak mahu menyanyi lagi.
Pelantun lagu ‘Kata Akhirmu’ ini kemudiannya meluahkan rasa pelik kerana beranggapan dirinya tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk berhenti menyanyi.
Kejap, bila masa pula saya cakap saya nak berhenti menyanyi?
Isteri turut bersuara
Perkongsian Ariff Bahran itu turut mendapat respon isterinya, Amira Syazwani yang memuat naik ciapan menerusi aplikasi yang sama.
Menurut Amira, dia sentiasa berbincang dengan Ariff sebelum suaminya itu mahu meninggalkan sebarang komen di media sosial.
Saya penasihat media buat suami saya dan sentiasa membimbingnya tentang perkara yang hendak diperkatakan di khalayak ramai terutama sekali apabila ia berkaitan dengan komen di media sosial.
Dia juga bertanyakan kepada saya sebelum menyiarkan apa-apa secara terbuka kepada khalayak ramai.
Jadi, saya pasti dia tidak pernah menyebut mahu berhenti menyanyi.
Tambah Amira, suaminya itu juga tidak akan pernah berhenti untuk menyanyi memandangkan itu merupakan minatnya.
Menyanyi adalah minatnya dan dia tidak akan berhenti.
Menjadi penyanyi di Malaysia bukanlah mudah kerana penuh dengan cabaran dan berat sebelah.
Dan perkara itulah yang kami pilih untuk tidak terlibat.
Sumber: Threads