Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian. Sebagai orang Islam, kita perlu reda dan menerima setiap ujian yang diberikan kepada kita.
Terbaru, seorang pengguna Facebook, Nija Tahar ada berkongsi luahan hati selepas pemergian ibu tercinta. Lebih meruntun hati apabila mengetahui ibu bapanya yang telah lama tidak berjumpa akhirnya ‘dipertemukan’ kembali dalam keadaan yang mereka tidak jangka sama sekali.
Sudah 241 tidak berjumpa
Setelah 241 hari mereka tak berjumpa, akhirnya mereka berjumpa kembali tapi dalam situasi yang berbeza. Kali terakhir mak jumpa ayah pada 17 Mac 2020 (Selasa). Masa tu aku hantar ayah untuk kuarantin dekat Singapura, memandangkan ayah adalah warganegara Singapura.
Mak bye-bye ayah dekat balkoni dengan menyimpan harapan untuk berjumpa kembali selepas 2 minggu kuarantin dijalankan. Dari minggu ke minggu, bulan ke bulan, mak terus berharap untuk ayah pulang. Setiap kali video call, mak mesti akan menangis dan tanya bila ayah boleh balik.
Setiap kali itu kami akan pujuk mak suruh bersabar dan doa banyak-banyak. Sampai lah di hujung-hujung hayat, bila video call, mak dah tak tanya lagi bila ayah nak balik. Tapi mak cakap ‘Ani akan tunggu abang balik’. Ayat tu sedikit melegakan ayah.
Menurut perkongsian Nija Tahar, dia meluahkan rasa sedih selepas pemergian ibu tercinta, Hjh Saniah Bt Hj Arshad. Difahamkan, ibu bapanya telah ‘terpisah’ sejak 17 Mac 2020 yang lalu.
Bapanya telah menjalani kuarantin di Singapura dan disebabkan itu mereka terpaksa melepaskan rindu dengan berhubung menerusi video call sahaja. Tetapi siapa sangka, kerinduan mereka berakhir dengan satu berita yang sangat menyedihkan.
‘Air mata ayah gugur melihat jasad mak’
Ayah cakap dekat aku dengan harapan mudah-mudahan tahun baru nanti ada pelepasan pada orang-orang macam ayah untuk pulang jumpa mak. Ayah cakap ayah tak dapat balik Singapura lagi sampai bila-bila pun tak apa. Ayah nak jaga mak. Kami tak sangka mak akan pergi secepat ini, sebab mak tak ada sakit tenat, mungkin mak tak nak susahkan semua orang.
Alhamdulillah mak pergi dengan tenang di hari jumaat. Dia hari yang dia selalu idam-idamkan. Rindu antara mereka sangat-sangat mendalam, aku sendiri tak pasti aku akan dapat lalui situasi macam mereka. Ayah sangat-sangat tenang, dalam hati ayah hanya Allah je yang tahu. Tapi air mata ayah gugur bila melihat jasad mak.
Tambah Nija lagi, ibunya telah menghembuskan nafas terakhir pada penghulu segala hari iaitu pada hari jumaat, 13 November 2020 yang lalu.
Walaupun pada awalnya si bapa kelihatan sangat tenang, tetapi disebabkan terlalu sedih dan rindu, air matanya gugur apabila melihat jasad si isteri di depan mata.
‘Kami sayang mak sampai syurga’
Ayah kuat sebab ayah nak anak-anak dia sekuat dia dan terima takdir Allah. Tapi ayah, anak-anak ayah tak sekuat ayah. Semalam selepas pengebumian mak, ayah terus dibawa kuarantin 2 minggu. Aku tak dapat bayangkan keadaan ayah dan adik aku yang masih di kuarantin di Singapura.
Semoga mereka terus kuat dan tabah. Semoga Allah anugerahkan mereka kekuatan yang luar biasa. Cinta, kasih dan sayang mak, ayah sangat luar biasa. Semoga kami akan berjumpa mak semula di syurga. Kami sayang mak sampai syurga.
Al-Fatihah
13 November 2020 -Jumaat-
Hjh Saniah Bt Hj Arshad
Difahamkan, selepas upacara pengebumian selesai, ayahnya telah dibawa pulang semula ke Singapura dan perlu menjalani kuarantin selama dua minggu. Dalam pada itu, Nija berharap agar ayah dan adiknya di Singapura akan terus kuat mengharungi kehidupan yang akan datang.
Sumber: Nija Tahar