Pelakon Anna Jobling menepis dakwaan kerjayanya berkembang di Indonesia adalah kerana bantuan daripada kroni atau individu yang berpengaruh.
Artikel Berkaitan: Anna Jobling Teruja Terima Tiga Tawaran Filem Di Indonesia Selepas ‘Lembayung’
Artikel Berkaitan: Didie Alias Tak Setuju Anna Jobling Jadi Juri Program Lawak – ‘Ramai Lagi Otai Yang Lain’
Pertaruhkan bakat
Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abd. Rahman Jobling berkata, dia mendapat tawaran berlakon menerusi dua filem terbarunya iaitu Lembayung dan Laut Tengah adalah kerana berkat kesungguhan dan dedekasi sebagai anak seni.
Saya bersyukur atas penerimaan positif daripada penonton Indonesia. Ini satu pengiktirafan atas kerja keras selepas berulang alik Malaysia dan Indonesia selama hampir setahun membina nama.
Saya percaya, tanpa usaha kita tidak akan dapat mencapai apa yang kita impikan. Ini adalah bukti bahawa kerja keras tidak akan mengkhianati hasil.
Dalam masa yang sama, Anna menegaskan bahawa peluang yang diterima tidak datang bergolek malah dia sendiri menghadirkan diri ke uji bakat.
Saya mencari peluang di sana sendiri bersama pihak pengurusan saya dengan menghadiri uji bakat. Selain itu, rakan-rakan selebriti di sana juga banyak memberi tunjuk ajar mengenai selok-belok menempa nama di Indonesia.
Filem ketiga di Indonesia
Sementara itu, aktres berusia 24 tahun tersebut bersyukur apabila industri perfileman Indonesia mula membuka pintu lebih luas kepada bakat-bakat luar.
Anna juga memaklumkan dia telah menerima tawaran daripada seorang pelakon wanita Indonesia yang cukup dikenali ramai.
Saya sangat teruja untuk mengumumkan filem ketiga saya di Indonesia tidak lama lagi. Ini adalah projek yang sangat istimewa buat saya.
Tak sangka saya menerima pelawaan daripada selebriti wanita ini. Saya berbesar hati diberi peluang untuk bekerjasama dengannya.
Justeru, Anna berharap kerjasama dengan pelakon terkenal itu akan membawa satu dimensi baru dalam kerjaya lakonannya.
Dia percaya bahawa pengalaman ini akan mengasah lagi bakatnya dan memberikan ruang untuknya memperluas pengaruh di persada antarabangsa.