Pelakon dan penerbit, Anne Ngasri mendedahkan dia telah meminta tunjuk ajar serta bantuan daripada kakaknya, Darling Ngasri dalam menerbitkan filem sulungnya berjudul Jemputan Ke Neraka.
Artikel Berkaitan: Sharifah Sakinah Pasang Alunan Al-Quran Di Set Penggambaran Jemputan Ke Neraka – ‘Banyak Cerita Seram Dekat…’
Tunjuk ajar kakak
Menurut Anne, 39, filem bergenre psiko thriller seram yang diterbitkan di bawah produksi miliknya iaitu AN Universal Sdn. Bhd. itu turut mempunyai banyak campur tangan Darling apabila dia juga menggalas tugas sebagai penerbit penyelaras.
Memang saya mengaku sebagai penerbit baharu saya mendapat banyak bimbingan dan tunjuk ajar daripada Darling sebab dia lebih berpengalaman dalam bidang penerbitan.
Jika tanpa Darling rasanya sukar juga untuk saya menerbitkan filem kerana jadual kerja yang agak padat. Darling sememangnya seorang mentor saya dalam bidang penerbitan sebab itu dia menjadi penerbit penyelaras.
Bukanlah tidak yakin dengan orang lain, tetapi kerana ini filem sulung produksi saya, jadi kalau boleh saya mahu semuanya mengikut kehendak dan piawaian yang ditetapkan. Darling sudah berpengalaman dan juga kakak saya, jadi dia tahu apa yang saya inginkan.
Cadangan genre
Sementara itu, Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri, 40, berkata, dia mencadangkan genre psiko thriller seram untuk filem pertama Anne kerana yakin genre tersebut lebih mudah diterima penonton tempatan.
Tambahan pula, pengarah Amor Rizan yang sudah lama bekerjasama sebagai pengarah untuk drama-drama produksi Darling memiliki sebuah karya yang sudah lama disimpan.
Saya suka penulisan dan kerja Amor Rizan serta yakin dengan kualiti kerjanya. Sebenarnya ini juga filem pertama Amor, jadi bukan kami sebagai penerbit sahaja yang berdebar tetapi Amor juga.
Mengulas mengenai pemilihan judul filem iaitu Jemputan Ke Neraka yang dilihat agak berani, Darling berkata judul filem tersebut sesuai dengan mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.
Alhamdulillah walaupun judul filemnya begitu ‘daring’, tetapi pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) telah mengklasifikasikan filem ini sebagai P13.
Tidak ada babak yang dipotong sepanjang proses penapisan kerana kami memang berjaga-jaga agar filem ini sesuai dengan penonton Malaysia. Sayanglah jika filem ini tidak dapat ditonton secara meluas.
Naskhah psiko thriller seram itu mengisahkan tentang sekumpulan bekas rakan sekolah menerima jemputan ke perkahwinan misteri di sebuah sebuah banglo mewah.
Filem Jemputan Ke Neraka yang akan menemui penonton pada 22 Jun ini dibintangi oleh, Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Amy Nurtinie, Nick Syaf, Jasper Supayah, Wafariena Roslan, Alif Hadi, Aleza Shadan dan Azhar Amir.