berita

Anugerah Telenovela Kembali, Iktiraf Karya Pilihan Peminat

September 26th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Anugerah Telenovela Ke-8 (ATN-8) bakal kembali bermula pada 29 Oktober ini. ATN-8 adalah anjuran bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan D’Ayu Pictures Sdn Bhd.

Sambutan luar biasa

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Anugerah Telenovela Ke-8 (ATN8), Datuk Rosmarayu Mokhtar menyatakan sambutan undian atas talian yang diterima kali ini sangat menggalakkan.

Kata beliau, jumlah undian tersebut sedikit sebanyak mencerminkan kesetiaan para peminat dalam menyokong kerjaya lakonan artis kesayangan mereka.

ATN8 terbahagi kepada dua konsep penilaian iaitu pemilihan calon oleh juri profesional dan pemilihan calon oleh peminat melalui undian atas talian.

Undian online sangat mendapat sambutan sehingga mencecah 4.8 juta penyertaan peminat. Sambutan luar biasa kali ini adalah disebabkan kesetiaan peminat terhadap artis pujaan masing-masing.

Pernah juga sistem pengundian ini cuba diceroboh, namun kami memiliki sistem kawalan keselamatan yang sangat kebal.

Tambah Rosmarayu, sistem pengundian pada kali ini sangat mencabar kerana ia menggabungkan pencalonan karya terbitan bagi tahun 2019, 2020 dan 2021.

Cari penaja

Sementara itu, Pengurus Projek ATN8, Dr Roslan Basarudin menjelaskan, pihak penganjur masih lagi mencari penajaan dari mana-mana pihak bagi merealisasikan anugerah berkenaan.

Jika sesiapa ada mengikuti kami pada tahun sebelum ini ia tidaklah sebesar penganjuran anugerah hiburan yang lain. Hal ini berlaku kerana kekangan bajet penganjuran yang terhad.

Saya bersama Datuk Rosmarayu sentiasa komited dalam mendukung hasrat kerajaan untuk merancakkan lagi industri penerbitan dan seni kreatif negara dengan penghasilan karya-karya yang berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.

Seterusnya bakal memberikan impak besar terhadap pembangunan tamadun, sosial serta ekonomi negara menurut acuan Keluarga Malaysia.

Pengundian online bagi fasa 1 ATN8 telah mula dilancarkan pada Mac lalu bagi memberi peluang kepada para peminat tegar untuk mengundi karya-karya adaptasi ‘Book2Screen’, iaitu novel ke drama, telefilem dan filem.

Pada tahun ini, terdapat 106 calon telenovela telah berentap bagi merebut lebih 40 Anugerah menerusi dua kategori, iaitu Kategori Popular (100 peratus undian online) dan Kategori Terbaik (100 peratus penjurian oleh juri profesional).

Kesemua karya adaptasi yang tercalon mestilah ditayangkan di televisyen atau stesen satelit atau stesen umum (Free To Air) atau pawagam. Buat masa ini, pencalonan bagi tayangan melalui laman sosial tidak akan diterima.

Antara kategori bagi undian online termasuklah Novel Popular, Telenovela Popular, Pelakon Lelaki Telenovela Popular, Pelakon Wanita Telenovela Popular dan Pasangan Serasi Popular.

Undian atas talian bagi fasa ketiga top 5 pula telah dilancarkan pada 20 September 2022.

Senarai penuh pencalonan ATN-8 boleh dilawati di laman web rasmi Anugerah Telenovela http://www.anugerahtelenovela.com.

SKIP THIS AD ×