Suami kepada pelakon Anzalna Nasir iaitu Hanif Zaki mendedahkan bahawa isterinya sangat teliti dalam merancang masa depan anak-anak mereka, terutamanya dalam aspek pendidikan.
Artikel Berkaitan: Anzalna Nasir Imbau Momen Pertama Kali Jumpa Suami – ‘Dia Lelaki Idaman Yang Selama Ini Saya Cari’
Artikel Berkaitan: Anzalna Nasir Tak Paksa Anak Untuk Bekerja Demi Duit – ‘Ini Semua Kenangan Waktu Mereka Kecil’
Anzalna pentingkan pendidikan
Ketika ditemui OhBulan!, Hanif atau nama lengakpnya Muhamad Hanif Mohamad Zaki, 38, berkata isterinya itu juga telah membuat tinjauan beberapa sekolah khas buat anak sulungnya, Eidrss sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun ketika itu anak mereka masih bayi.
Anzalna memang sangat teliti lebih-lebih lagi fasal pendidikan sebab itu dia pilih untuk tak berlakon.
Dia nak besarkan anak dahulu tetapi saya bersyukur juga sebab boleh fokus kerja.
Dia mula buat tinjauan sekolah sejak zaman PKP, ketika itu anak saya masih bayi.
Hanif berkata demikian semasa sesi duta-duta Jakel bertemu pengunjung di Kuala Lumpur, pada Ahad.
Selain Anzalna dan Hanif, barisan duta lain turut hadir antaranya Senario, Fattah Amin, Amira Othman, Cik Epal, Elly Mazlein dan Sallywho.
Acara tersebut diteruskan lagi ekoran sambutan menggalakkan daripada orang ramai pada program Meet & Greet di Jakel Shah Alam pada 31 Januari lalu.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pihaknya mengambil keputusan itu bagi tidak menghampakan pelanggan yang dikatakan terlepas peluang mendapatkan baucar diskaun tambahan 20 peratus pembelian baju raya yang diedarkan sendiri oleh duta-duta.
Selain itu, Mohamed Faroz berkata, demi keselesaan pengunjung, pihaknya juga turut membuka ruang niaga lebih luas dan berwajah baru di aras tiga bangunan tersebut.
Nak yang terbaik buat anak-anak
Sementara itu, pemilik nama lengkap Nur Anzalna Md Nasir, 37, berkata dia melakukan tinjauan terhadap beberapa sekolah adalah untuk memastikan pilihan terbaik buat Eidress yang kini berusia enam tahun dan bakal memasuki alam persekolahan.
Tahun ini Eidress 6 tahun, saya dah ambil berat tentang sekolah mana nak hantar.
Apa saya buat adalah buat tinjauan antara sekolah antarabangsa dan kerajaan sebab nak tengok perbezaan dan mana lebih sesuai dengan anak.
Kita pun bekerja untuk masa depan anak, jadi memang nak berikan yang terbaik. Selepas buat tinjauan, mana-mana sekolah okey cuma anak kita kena selesa.
Tambah pelakon drama Memori Cinta Suraya ini lagi, usaha yang dilakukannya ini adalah kerana mahu anak-anaknya merasai pengalaman sama apa yang dilaluinya semasa kecil.
Saya suka fikir masa depan. Biar kita buat persediaan pada awal
Dari kecil pun saya sekolah di luar, saya nak anak rasa apa yang saya lalui waktu kecil. Bagi saya, macam mana pun nak pilih sekolah terbaik untuk anak.
Untuk rekod, Anzalna dan usahawan, Mohamad Hanif Zaki mendirikan rumah tangga pada 2016.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Eidrees, 6 dan Mohamad Emirhan yang kini berusia tiga tahun.