Menerusi temu bual bersama pihak OhBulan! pengarah, Areel Abu Bakar berkata, dia menggunakan dana sendiri untuk menghasilkan filem ‘Walid’ yang bakal ditayangkan pada 14 September ini di pawagam seluruh Malaysia.
Bergerak secara ‘fakir’
Menurut Areel, dia memilih untuk bergerak sebagai ‘fakir’ dalam membikin filem, daripada mengorbankan misi dan visinya sebagai pengarah. Tambah Areel, dia terbuka untuk berkolaborasi dengan pelabur sekiranya mereka bersetuju untuk mengikuti hala tujunya.
Fakir maksudnya kerdil, kecil, sendiri dan berdikari. Ini adalah filemkedua saya dan filem ini juga adalah filem yang kosnya ditanggung sendiri. Mungkin untuk filem ketiga akan datang, akan ada perubahan. Saya masih mencari rakan yang mempunyai misi sama, tanpa menolak atau membuang sasaran saya untuk sesuatu filem.
Dalam erti kata lain, kalau ada pihak yang berjiwa besar nak berkolaborasi, mereka masih kena ikut apa yang sudah saya susunkan. Saya tidak berkompromi dari sudut struktur skrip, artis-artis yang saya pilih untuk jalankan dan sebagainya.
Disoal sama ada pernah ditawarkan apa-apa tawaran sebelum ini, Areel memberitahu dia pernah ditawarkan oleh pelabur yang ingin melabur dalam pembikinan filemnya, namun, kebanyakan daripada mereka punya niat lain.
Kalau datanglah jutaan atau berpuluh juta sekalipun…Tapi, saya perlu korbankan apa yang saya jalankan sekarang, saya takkan terima apa-apa. Biarlah fakir, tapi perjalanan itu selesa.
Ada juga pihak yang mahu saya korbankan kemahuan saya dan masih dalam perbincangan. Ada juga pelabur-pelabur lain yang kononnya berminat, tetapi, mereka cuma mahu memanipulasi orang seperti kami. Kalau dia bagi jumlah tertentu untuk ubah hala tuju filem dan keutamaannya adalah pelaburan dan keuntungan, saya tak boleh terima.
Areel yang ditemui di Malam Gala Filem ‘Walid’ di Starling Mall, semalam, turut mengaku permohonannya untuk mendapatkan Dana Kandungan Digital (DKD) bagi filem ini gagal. Ini kerana, ada beberapa perkara yang tidak memenuhi prosedur.
DKD filem Walid tak dapat sebab ada faktor lain yang belum selesai. Mungkin filem ketiga nanti akan ada suntikan daripada pihak Finas.
Terdahulu, filem Walid mencipta kejayaan dan membawa kebanggaan kepada nama Malaysia apabila ia ditayangkan di dua lokasi pawagam di Amerika Syarikat iaitu New York dan Los Angeles pada Julai lalu.