Semalam kita dikejutkan dengan pemergian pelakon terkenal negara, Ridzuan Hashim yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Artikel Berkaitan: Ridzuan Hashim Meninggal Dunia
Artikel Berkaitan: Yusof Haslam Sifatkan Ridzuan Hashim Pelakon Berdisiplin, Sebak Kenang Pelukan Terakhir
Ebby pernah kongsi rawatan jantung
Foto: Harian Metro
Pelakon, Ebby Yus, 58, mendedahkan bahawa dia pernah berkongsi pengalaman serta rawatan yang dijalaninya kepada Allahyarham Ridzuan yang bertanya kepadanya mengenai rawatan jantung sekitar awal tahun yang lalu.
Melalui pertanyaan itulah Ebby mula mengetahui bahawa arwah menghidap penyakit jantung.
Lebih kurang pada awal tahun lalu, arwah ada bertanya kepada saya mengenai sakit jantung yang saya alami. Jadi, dia bertanya mengenai proses rawatan saya. Saya maklumkan kepadanya bahawa saya menggunakan rawatan daripada doktor di samping rawatan alternatif.
Kemudian, arwah juga bertanya mengenai keadaan kesihatan saya yang terkini dan saya maklumkan bahawa saya okay. Sejak itulah saya tahu bahawa dia juga mengalami masalah jantung.
Saya beritahu dia, kalau nak cuba dapatkan rawatan dan sebagainya, boleh hubungi saya dan saya akan bantu mana yang patut. Tapi, sejak itu arwah pun tak ada menghubungi saya dan saya anggap dia mungkin dah dapat tempat untuk rawatan.
Dalam pada itu, Ebby menyifatkan arwah sebagai seorang individu yang sangat mudah untuk didekati meskipun mereka tidak pernah bekerjasama dalam mana-mana drama atau filem sebelum ini.
Saya tak pernah berlakon dengan arwah, tetapi memang agak rapat sebab dia dan abang saya pernah sama-sama menjadi model. Bahkan saya dah mula kenal arwah sejak sebelum dia berkahwin dengan Didie lagi.
Secara peribadi, arwah adalah individu yang sangat mudah didekati dan senang di ajak berbual. Bahkan, kalau ada benda berkaitan masalah peribadi pun dia boleh jadi pendengar.
Terdahulu Ridzuan, 62, dilaporkan rebah ketika bersarapan bersama-sama anaknya di rumah sebelum dibawa ke hospital.
Pelakon filem KL Gangster itu kemudiannya disahkan meninggalkan dunia dan berita sedih itu dikongsikan bekas isteri yang juga pelakon, Didie Alias menerusi laman sosial, Instagram (IG) kira-kira jam 2.50 petang.
Untuk rekod, Ridzuan pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, pelawak dan pengacara popular, Didie Alias pada 1992. Namun, rumah tangga dibina tidak bertahan lama apabila berpisah pada 2002.
Hasil perkongsian hidup bersama Didie, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Dhaniyah, Muhammad Daniel, Nur Dania, Nur Diyana dan Nur Dayani.
Sumber: Harian Metro