Semalam, industri nasyid tanah air dikejutkan dengan pemergian bekas ahli kumpulan In-Team, Suhaimi Saad yang menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultan Ismail Johor Bharu.
Artikel Berkaitan: Suhaimi Saad Meninggal Dunia
Nak hidup sampai usia 43 tahun
Terbaharu, isteri kepada Allahyarham Suhaimi, Ina Naim mendedahkan bahawa suaminya itu ‘pergi’ dalam keadaan yang begitu tenang di sisinya dan anak-anak.
Memetik laporan Harian Metro, Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim berkata, suaminya itu juga pernah berkata hanya mahu hidup sehingga usianya 43 tahun sahaja.
Arwah suami pergi dalam keadaan yang tenang dan mudah, di sisi saya serta semua anak-anak kami.
Arwah tidak muntah hanya batuk teruk sejak bulan Ogos dan alami cirit birit. Arwah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak 10 November lalu.
Sejak di Hospital Kota Tinggi lagi, arwah minta ditidurkan sebagai ikhtiar terakhirnya. Ketika hidup, arwah suami ada cakap hendak hidup sehingga usia 43 tahun, dan 12 Oktober lalu genap usianya 43 tahun.
Dalam pada itu, Ina memaklumkan bahawa arwah Suhaimi hanya meninggalkan pesan meminta maaf kepada orang ramai seperti mana hantaran yang dimuat naiknya di laman TikTok miliknya sebelum ditidurkan.
Saya mohon maaf jika suami saya tersilap kata atau ada menyinggung perasaan mana-mana pihak atau termakan, terminum atau terambil apa-apa, saya memohon maaf bagi pihak dia.
Terdahulu, kesihatan Suhaimi atau nama sebenarnya Mohd Suhaimi Saad dilaporkan merudum sejak awal Oktober lalu selepas mengalami cirit-birit sehingga susut berat badan sebanyak 20 kilogram (kg).
Selepas enam hari ditidurkan dan mendapatkan rawatan, Suhaimi disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 7.40 petang Rabu di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Sekadar info, Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Sumber: Harian Metro