berita

Arwah Fariesha Bakal Bernikah Tahun Depan, Sempat Tinggalkan Pesanan Buat Tunang

September 18th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Tiga daripada empat orang gadis telah disahkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas akibat terhidu karbon monoksida selepas ditemui tidak sedarkan diri di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pada 16 September 2020 yang lalu.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Kakak Kongsi Kenangan Terakhir Arwah Adik & Rakan Di Pulau Jerejak.. Sedih!

Terbaru, ibu kepada Allahyarham Sharifah Fariesha iaitu Hasnida Hassan menceritakan bahawa anak kesayangannya itu bakal melangsungkan pernikahan pada Oktober tahun depan tetapi siapa sangka, tidak sempat berbuat demikian, ajal sudah menjemputnya.

Tak sempat langsungkan majlis pernikahan

Menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, Hasnida Hassan mengakui sedih dengan pemergian anak tunggalnya itu tetapi mereka sekeluarga kini sudah redha dengan takdir yang telah ditetapkan Allah SWT. Hasnida turut menyifatkan Fariesha seorang anak yang sangat baik, manja dan menghormati orang tua.

Dia memang seorang anak yang manja malah hubungan saya dengan dia bukan saja sebagai seorang ibu dan anak, malah dia jadikan saya sebagai kawan serta tempat dia mengadu masalah.

Menceritakan kisah itu, Hasnida memberitahu hasrat anak kesayangannya itu yang  ingin mengadakan majlis perkahwinan dengan tema yang sangat cantik.

Kalau ikut perancangan, arwah Sharifah Fariesha Syed Fathi, bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya Oktober tahun depan tapi semuanya Allah SWT sudah atur, dia pergi buat selamanya.

Hasnida mengakui terdapat perubahan pada sikap arwah yang kurang bercakap sejak tiga hari yang lalu. Difahamkan, arwah bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-21 pada 20 Oktober depan.

Sempat tinggal pesan kepada tunang

Tambah Hasnida lagi, sebelum mengetahui tentang kejadian, dia dan suami sudah cuba menghubungi anaknya dan rakan-rakan arwah tetapi tiada sebarang jawapan yang diterima. Malah, kiriman Whatsapp juga tidak berbalas.

Mereka yang berasa bimbang telah meminta tunang Fariesha untuk menghubunginya. Selepas berjaya dihubungi, tunang arwah dimaklumkan bahawa arwah dan rakan-rakannya ditemui ‘tertidur’ di dalam kereta yang dinaiki mereka.

Masa tu dah jam 1 pagi dan saya terus ke Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang sebelum dimaklumkan yang anak saya sudah meninggal dunia, seluruh badan saya seolah-olah lumpuh kerana kehilangannya. Ketika saya menatap wajahnya kali terakhir ketika hendak dikafankan semalam (kelmarin), wajahnya sangat berseri dan bersih.

Saya dimaklumkan oleh tunangnya, arwah sempat berpesan kepadanya supaya jaga diri baik-baik kalau dia tiada nanti. Sharifah Fariesha sempat meminta izin daripada tunangnya sehari sebelum kejadian untuk ke Pulau Jerejak bersama tiga rakan baiknya itu.

Sementara itu, Hasnida memohon kepada orang ramai supaya mendoakan roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×