berita

Awal Ashaari Mengaku Tidak Bersalah Rosakkan Palang Pagar

May 17th, 2022 | by khairil
Isu & Kontroversi

Foto: Bernama

Selebriti terkenal, Awal Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, bulan lalu.

Dibenar ikat jamin

Foto: awalashaari

Ahmad Awaluddin Ashaari atau lebih dikenali sebagai Awal Ashaari, 41, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara, Jalan PJU3/30 di sini yang nilai kerugian dianggarkan RM600 pada 16 April 2022, kira-kira pukul 11;30 pagi.

Berikutan itu, Awal didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun atau maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Awal, Datuk M. Reza Hassan memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM3,000 susulan tertuduh mempunyai pendapatan tidak tetap sebagai pengacara televisyen dan menanggung ibu bapanya yang sudah berusia.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran membenarkan Awal diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan tarikh 15 Julai ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×