Menerusi sebuah dokumentari ‘My Dad The Paedophile’, satu daripada dua puluh orang kanak-kanak di United Kingdom (UK) telah didera secara seksual. Susulan daripada itu, Real Stories telah menemubual tiga orang wanita iaitu Natasha, Emily dan Maya yang merupakan mangsa penderaan seksual ayah kandung sendiri sejak bertahun-tahun yang lalu.
Apa yang menarik mengenai dokumentari ini ialah, kesemua mereka mempunyai kisah penderaan seksual dan dugaan hidup yang berbeza. Tetapi pada masa yang sama, mereka berjaya membina kehidupan yang baru untuk diri mereka sendiri. Jom baca!
Natasha
Natasha yang berusia 28 tahun ini, memberitahu bahawa dia mempunyai seorang ayah yang penyayang, suka mengambil berat, baik dan taat kepada ahli keluarganya. Namun, hubungan di antara ayah dan ibunya hanya mampu bertahan ketika usianya dua tahun sebelum kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk berpisah. Bercerita mengenai penderaan seksual buat kali pertama, Natasha memaklumkan bahawa kejadian itu telah berlaku ketika usianya empat tahun.
Menurut Natasha, ketika kanak-kanak dia melihat kehidupannya seperti dua dimensi. Ini kerana, setiap hari Isnin hingga Jumaat dia akan melakukan aktiviti harian seperti kanak-kanak lain. Tambahnya, dia berpeluang untuk meluangkan masa, pergi melancong dan bermain ice skating bersama ibu, ayah tiri dan adiknya. Manakala, setiap hujung minggu pula merupakan detik hitam buatnya kerana akan tinggal bersama ayah kandungnya.
Raba perut dan alat sulit ketika bersama
Jelas Natasha, dia menginginkan sebuah hubungan yang baik bersama ayahnya. Namun, impian tersebut seolah-olah tidak akan berlaku. Perlakuan ayahnya yang agak mencurigakan turut menyebabkan dirinya berada dalam ketakutan setiap hujung minggu. Ujar Natasha, ayahnya merupakan seorang ahli bina badan. Berbalik kepada detik penderaan seksual, Natasha memberitahu bahawa ayahnya akan meraba perutnya sehingga ke alat sulitnya setiap kali mereka bersama. Pada mulanya, perbuatan tersebut tidak terlalu ketara sehinggakan pada suatu hari ayahnya telah bertindak melampaui batas dan menciumnya ketika tidur. Oleh kerana ayahnya memiliki tubuh badan yang perkasa, Natasha tidak dapat melawan dan terpaksa akur dengan peristiwa yang terjadi pada malam berkenaan.
Pada usia 19 tahun, Natasha telah memperoleh kekuatan untuk melaporkan mengenai perbuatan terkutuk ayahnya kepada pihak polis. Namun, pihak polis tidak boleh membawa kes itu pergi ke peringkat seterusnya memandangkan Natasha tidak mempunyai bukti yang kukuh. Lebih-lebih lagi kes tersebut sudah lama. Oleh itu, pihak polis tidak dapat mengambil sebarang tindakan pada masa tersebut. Ibu Natasha sangat terkejut selepas mengetahui bahawa bekas suami sanggup melakukan penderaan seksual terhadap anak sendiri. Perasaan kecewa selepas mengetahui perkara tersebut turut diluahkan oleh ibunya. Menurut ibu Natasha, penderaan seksual bukan suatu isu yang kecil dan dia terkejut bagaimana anaknya itu boleh memendam penderitaan tersebut.
Setelah dua tahun berlalu, pihak polis menghubungi semula Natasha dan memberitahu bahawa kesnya boleh dibuka semula. Ini kerana, bapanya masih melakukan perbuatan yang sama terhadap kanak-kanak lain. Sebagai anak, Natasha sangat sedih mendengar berita tersebut. Mengulas mengenai bagaimana dia mencari kekuatan selepas insiden itu, Natasha memberitahu dia berkenalan dengan seorang jurulatih ‘kick boxing’. Daripada perkenalan itu, dia sentiasa menyibukkan diri dengan aktiviti berkenaan. Sehingga kini, dia melepaskan segala tekanan menerusi hobi tersebut. Tambahnya, ‘kick boxing’ juga membuatkan dirinya menjadi wanita yang kuat dan berani untuk melupakan kisah silam. Ayahnya kini pula berada di dalam tahanan pihak polis dan sedang menjalani hukuman penjara.
Maya
Maya pula berusia 35 tahun dan dia sudah mendirikan rumah tangga sejak sedekad yang lalu. Sewaktu kecil, ayahnya selalu berpesan agar dia perlu berkelakuan baik. Sekiranya Maya mengikut arahan tersebut, ayahnya akan memberi apa jua ganjaran. Sebagai contoh, sekiranya Maya membenarkan doktor untuk melakukan pemeriksaan terhadapnya di hospital, ayahnya akan membeli gula-gula dan pada masa yang sama, sekiranya Maya memegang ayahnya, ayahnya akan memberi sesuatu yang diinginkannya.
Permainan dan anak patung juga merupakan umpan yang diberikan oleh ayahnya pada waktu tersebut. Jadi, Maya perlu menuruti dan lakukan sesuatu untuk mendapatkan umpan tersebut. Ketika sedang menonton siri kartun kegemaran di televisyen, ayahnya akan mengambil kesempatan dan meminta Maya untuk meletakkan tangannya di atas kemaluan. Maya turut memberitahu bahawa pernah suatu ketika ibunya turut berasa cemburu kerana ayahnya memberikan sepenuh perhatian terhadap dirinya. Hubungan antara Maya dan ibunya turut renggang kerana hal tersebut. Perkara tersebut masih berterusan tahun demi tahun sehingga Maya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya.
Tulis diari supaya ingat
Pada tahun 2012, sewaktu Maya dan suaminya pergi melancong, pihak polis telah menghubungi mereka dan melaporkan bahawa ayahnya kini berada di dalam tahanan kerana telah membuat serangan seksual terhadap seorang anak kecil. Sebagai anak dan salah seorang mangsa, Maya telah hadir ke balai polis bagi memberi keterangan. Semasa memberi keterangan, Maya menjelaskan bahawa dia tidak mengingati sebarang kejadian tersebut kerana bapanya telah memasukkan beberapa cecair di dalam minumannya. Dia hanya ingat apa yang terkandung dalam diari sahaja.
Mengenai diari tersebut, Maya menulis setiap apa yang berlaku terhadap dirinya. Sebagai contoh, berapa kali ayahnya melakukan penderaan seksual, rogol, marah dan memukul dirinya. Di samping itu, dia turut menulis mengenai sebuah kejadian di mana ayahnya telah melancap di atas baju sekolahnya. Ada suatu masa, mereka bergaduh dan Maya bertindak memukul bapanya kerana terlalu geram. Bulan Mac 2012, mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda dan 10 tahun penjara terhadap ayah Maya. Sejak itu juga, Maya tidak pulang ke rumah ayahnya.
Dorongan daripada suami membuatkan Maya kembali kuat dan cuba melupakan masa silam. Dia mengambil masa lebih kurang beberapa tahun untuk kembali kuat dan beranikan diri seandainya terpaksa kembali semula ke rumah tersebut untuk masa akan datang.
Emily
Emily merupakan seorang gadis yang berusia 24 tahun. Ibu dan ayahnya telah berpisah ketika usianya tujuh tahun. Oleh itu, dia dan dua orang adik telah dibesarkan oleh ibu. Selepas ibu dan ayah berpisah, Emily memberitahu bahawa dia seolah menjadi pengganti ibu jika bersama ayah. Detik penderaan seksual telah berlaku terhadapnya ketika usia tujuh tahun juga. Jelas Emily, dia sering dipeluk dan diraba oleh ayahnya pada saat itu. Namun, ketika itu dia tidak menyedari bahawa perbuatan itu merupakan satu penderaan seksual.
Seperti ayah kanak-kanak lain, ayah Emily akan mendukung dan menemaninya sebelum tidur. Pada masa yang sama, ayahnya turut memberi urutan seksual. Semakin meningkat usia, Emily berasa jijik dan geram akan perbuatan ayahnya itu sehingga dia sedar bahawa selama ini dia telah didera secara seksual. Pernah suatu masa, Emily pernah mengajak kawan baiknya Jade untuk bermalam sekali kerana takut diserang secara seksual oleh ayahnya. Emily juga memberitahu bahawa ayahnya pernah cuba untuk mengambil kesempatan terhadap Jade sewaktu ternampak mereka berpakaian seksi dan seluar pendek.
Badan dicakar ayah
Sekadar gambar hiasan
Pada suatu malam, selepas pulang daripada minum, Emily pulang ke rumah dalam keadaan khayal dan tidak sedarkan diri. Setibanya di rumah, Emily menyedari bahawa ayahnya seolah-olah sedang mengikutnya untuk masuk ke dalam bilik. Ternyata jangkaan Emily itu adalah benar. Ayahnya telah melakukan serangan seksual dan membuka bajunya pada malam kejadian. Seluruh badan Emily penuh dengan cakaran pada malam kejadian kerana dikerjakan oleh ayahnya. Bukan itu sahaja, dia turut dirogol dan diminta untuk mendiamkan diri. Jika dia memberitahu kepada sesiapa mengenai kejadian tersebut, ayahnya akan membuat sesuatu yang lebih teruk. Tambah Emily, malam tersebut merupakan kali pertama dia melakukan hubungan intim. Lebih keji, bersama ayah sendiri.
Walaupun kehidupannya sebagai seoarang anak gadis tidak sama seperti gadis lain, Emily cuba bangkit dari kejadian malam itu. Dia berkenalan dengan seorang lelaki yang sudi menerimanya sebagai kekasih. Sejak itu juga, Emily banyak menghabiskan masa bersama teman lelakinya dan jarang pulang ke rumah. Mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan kini sudah menimang seorang cahaya mata. Jelas Emily, kini fokus utama diberikan kepada anaknya dan menjadi seorang ibu merupakan suatu perkara yang luar biasa. Mengenai ayahnya pula, Emily sudah tidak mendengar khabar lagi.
Secara konklusi, ayah ketiga-tiga wanita ini pandai mencari umpan dan mengambil kesempatan terhadap anak gadis mereka. Namun, ketiga-tiga wanita ini tidak berani untuk menceritakan kepada ahli keluarga mereka yang lain selepas didera secara seksual oleh ayah kandung sendiri. Kebanyakan mereka memendam hal tersebut sehingga mereka menemui kekuatan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa mahupun ahli keluarga. Hobi dan pasangan hidup merupakan pendorong utama buat wanita-wanita ini mengubah kehidupan mereka dan apa yang telah berlaku tetap menjadi kenangan pahit buat diri mereka.
Sumber: Real Stories