berita

‘Ayah Masih Hidup..’ – Cari Bapa Untuk Jadi Wali, Balkisyh Akhirnya Terima Panggilan Daripada JAWI

October 15th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Pelakon drama terkenal Mak Cun iaitu Balkisyh Semundur Khan mengumumkan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka pilihan hatinya yang juga merupakan seorang duda. Walau bagaimanapun, perancangan tersebut terpaksa ditunda atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Tak jumpa bapa kandung

Menerusi laporan Harian Metro, Balkisyh kini masih dalam proses untuk mendirikan rumah tangga tetapi hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan gara-gara dia gagal menemui bapa kandungnya, Semundur Khan Gulam Khan. Difahamkan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah meminta Balkisyh untuk mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu bapa kandung sebagai wali.

Ikut perancangan saya nak berkahwin hujung tahun lalu, tapi tertunda disebabkan masalah wali. Sejak itu saya mula mencari bapa. Ada dapat maklumat daripada keluarga di Sabah, tapi ia tidak tepat. Jadi, saya buat carian di JPN membabitkan rekod kematian dan alamat terakhir.

Selepas dua minggu saya diberitahu ayah masih hidup sebab tidak ada rekod kematian dan alamat terakhirnya di Tawau, Sabah. Malangnya, rumah itu sudah dijual sejak lima tahun lalu.

JAWI dah hubungi Balkisyh

Tambahnya lagi, dia sudah cuba mengemukakan permohonan untuk menjadikan bapa saudaranya (adik kepada ayah) sebagai wali tetapi permohonan itu ditolak. Selain itu, pihak agama juga meminta Balkisyh membawa saksi dalam kalangan keluarga tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ianya membataskan pergerakan mereka untuk menguruskan hal perkahwinan.

Saya pernah menangis keluar dari pejabat agama sebab memikirkan kenapa terlalu rumit prosedur nak berkahwin. Kalau diikutkan saya janda dan pernah berkahwin. Tapi, saya tetap berusaha.

Menurut Balkisyh, pihak mahkamah hanya membenarkan dia menggunakan wali hakim selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) . Menerusi laporan terbaru, Balkisyh meluahkan rasa syukur akhirnya dia menerima maklum balas daripada JAWI selepas artikelnya disiarkan. Pihak JAWI memintanya untuk menghantar borang permohonan selepas tamat tempoh PKPB.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×