Bimbang kerana anak-anak tidak mempunyai antibodi yang kuat untuk menahan kesan selepas menerima suntikan vaksin, penyanyi, Ayu Damit serta suami tidak bersetuju jika anak-anak mereka diberikan suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dalam masa terdekat.
Menerusi temubual bersama OhBulan, Ayu menegaskan kepada semua pihak bahawa dia dan suami bukan golongan antivaksin bahkan, kedua-dua mereka sudah lengkap menerima dua dos vaksin sejak awal lagi.
Kami nak yang terbaik untuk anak
Saya ni bukan antivaksin. Saya dan suami dah lengkap dua dos dah. Tapi saya sebagai ibu kena fikir juga. Saya tak kata pun saya tak bagi anak-anak cucuk! Anak saya memang antibodi dia lemah, so korang nak cakap apa? Kalau jadi apa-apa korang semua nak tanggung ka? Nanti masing-masing cakap ini takdir kena terima. Sebelum apa-apa jadi, saya buat la medical check up untuk anak-anak saya. Saya tengah tunggu keputusan daripada doktor. Kalau okay, saya akan bagi mereka terima vaksin.
Menurut Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, anak sulungnya, Syed Nasrul Haikal memiliki antibodi yang agak lemah sedikit. Sebagai ibu, Ayu berasa takut sekiranya perkara tidak diingini berlaku terhadap anaknya itu. Tambah Ayu, daya ketahanan badan setiap orang tidak sama apatah lagi, orang dewasa dan kanak-kanak.
Namun begitu, Ayu memberitahu bahawa dia akan menunggu keputusan laporan kesihatan daripada doktor sama ada anaknya boleh menerima vaksin ataupun tidak dalam masa terdekat ini. Bagi Ayu, dia mahu memberikan yang terbaik buat anak-anak dan memastikan mereka berada dalam keadaan yang sihat. Di samping itu, pelantun suara ‘Hanya Di Mercu’ ini tidak akan menolak sebarang pemberian vaksin terhadap anaknya sekiranya tahap kesihatan mereka semua berada dalam keadaan yang baik.
Anak saya yang sulung masuk sekolah Cina dan di sekolah itu wajib ambil suntikan vaksin. Malah, pihak sekolah juga yang mendaftar murid untuk vaksinasi. Ibu bapa nak atau tak nak, memang anak kena ambil juga vaksin. Walaupun masih diberi pilihan, tapi pihak sekolah nak semua murid ambil vaksin. Jadi, saya dan suami terpaksa ikut apa yang sekolah dah tetapkan. Sebab takut juga nanti anak saya tidak dibenarkan pergi sekolah, satu masalah pula.
Artis pun manusia
Disoal mengenai reaksi Ayu selepas membaca komen negatif yang ditulis oleh netizen di media sosial, penyanyi kelahiran Sabah ini memberitahu dia berasa sedikit terkilan dan kecewa kerana segelintir daripada netizen hanya membaca tajuk sesebuah artikel sahaja dan tidak membaca penjelasan penuh yang diberikan oleh dirinya dan suami.
Mati itu semua takdir Allah. Tapi saya ni ibu anak-anak pun masih ada bapa. Tak salah untuk kami nak yang terbaik untuk anak. Kalaulah awak jadi ibu atau bapa lepas ni, kalau orang cakap benda sama awak terkilan tak? Saya bukan anti atau tolak orang yang tak ambil vaksin juga. Tapi ini sebagai ikhtiar saya untuk anak-anak.
Ujar Ayu lagi, dia menghormati keputusan semua orang dan pada masa yang sama dia akan berikhtiar melakukan yang terbaik untuk kesemua anak-anaknya. Ayu mendirikan rumah tangga dengan Syed Fauzi pada 2009 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syed Nasrul Haikal (12 tahun), Syarifah Alya Adriana (10 tahun) dan Syed Aqif Najmi (6 tahun).