Filem terbaru kumpulan lawak lagenda tanah air, Senario berjudul Jaga-Jaga Senariounion menyaksikan lakonan kesemua ahli kumpulan tersebut kecuali Lan Pet Pet.
Aziz M Osman, pengarah filem tersebut tampil memberikan penjelasan tentang ketiadaan Lan di dalam filem itu.
Lan ada komitmen lain
Pengarah Aziz M Osman yang sangat sinonim dengan Senario tampil mengulas ketiadaan pelakon Lan Pet Pet dalam filem terbaru Senario berjudul Jaga-Jaga Senariounion.
Menurutnya, Lan mempunyai komitmen lain, dan mereka memahami situasinya. Lan pada awalnya menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan mereka, serta sempat melalukan promosi bersama, namun atas faktor komitmen yang lain, Lan tidak dapat hadir pada waktu pengambaran.
Kami semua sudah menghubungi Lan. Kita tahu apabila Lan mempunyai komitmen lain dan kami fahamlah.
Dia juga sempat melakukan promosi bersama kita. Namun, sehingga saat ini, walaupun dua, tiga hari lepas sebelum kami nak selesai penggambaran, kami tetap telefon Lan untuk sekurang-kurangnya ada satu dua babak untuknya.
Namun, kami faham bukan dia tolak atau tak terima tapi dia ada komitmen lain
Ditanya sama ada Mazlan berada di Kedah atau Kuala Lumpur, Aziz berkata, dia boleh berada di mana-mana saja.
Wahid, Hamdan dan Ilya bukan tinggal di Kuala Lumpur tapi di Ipoh. Namun, untuk penggambaran mereka boleh datang sini.
Sehingga saat akhir kami cuba juga nak tampilkan Lan dalam cerita ini. Bukan tak dapat berhubung, kami dapat bercakap dengan dia tapi masa tak mengizinkan untuk dia berlakon
Watak untuk Lan sudah digarap oleh Aziz, tetapi akhirnya diberikan kepada orang lain untuk dibawakan.
Lan, atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad yang terpalit kontroversi sebelum ini sudah beralih kerjaya sebagai pembantu peguam di syarikat guaman Aswandi Hashim & Co milik Datuk Dr Aswandi Hashim, dan memulakan tugas pertamanya di Kompleks Mahkamah Alor Setar pada 25 Ogos lalu.
Jaga-Jaga Senariounion terbitan Botak Production Management Sdn Bhd menampilkan semua anggota Senario iaitu Azlee, Hamdan, Wahid, Yassin, Saiful Apek dan Ilya, dan turut disertai pelakon yang pernah membintangi filem Senario sebelum ini seperti Syanie, Bobby Kiran dan Prono.
Turut berlakon ialah Amm Raja Lawak, Farisha dan Badrul Shah.
Sumber: Harian Metro