berita

Baca Al-Fatihah Dalam Bahasa Inggeris, Sah Atau Tidak? Ini Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan

May 6th, 2019 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Walaupun lebih dari setahun memeluk Islam, pengarah dan penerbit popular, Michael Ang, mengakui masih melafazkan bacaan dan surah solat fardhu dalam bahasa Inggeris kerana mengalami kesukaran menguasai bacaan dalam bahasa Arab.

Menerusi portal Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan hukum baca bacaan solat dalam bahasa Inggeris bagi individu yang baru memeluk Islam.

Hukum membaca Al-Fatihah dalam solat

Menurut Dr Zulkifli, solat mempunyai rukun-rukunnya yang tersendiri. Antaranya rukun fi’li (perbuatan), rukun qauli (ucapan) dan rukun qalbi (hati). Membaca al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun qauli yang wajib dibaca dalam solat, selain bacaan tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat.

Individu yang tidak boleh menghafal surah al-Fatihah semasa solat dikehendaki membaca ‘bismillahirahmanirahim’ sebanyak tujuh kali. Manakala, jika mereka langsung tidak boleh membaca mana-mana ayat daripada al-Quran, mereka boleh menggantikannya dengan zikir-zikir.

Adapun perbuatan menterjemah (bacaan dan surah solat fardu) mengikut pandangan jumhur ulamak tidak dibenarkan kecuali satu pendapat dalam mazhab Hanafi yang menyatakan boleh untuk membaca seperti terjemahan akan tetapi diberi tempoh tertentu.

Kepada yang tidak mampu baca al-Fatihah dalam bahasa Arab, bacalah ayat al-Quran seperti ‘bismillahirahmanirahim’ yang diulang tujuh atau lapan kali seolah-olah sudah menyamai surah al Fatihah.

Cadangan dan nasihat

Bagi individu yang tidak mampu menghafal bacaan wajib, mereka digalakkan menghafal perkara-perakara rukun terlebih dahulu seperti al-Fatihah.

Mungkin boleh hafal secara beransur-ansur mengikut potongan ayat seperti menghafal satu hari satu ayat atau satu minggu satu ayat dan kemudian menambah lagi sedikit demi sedikit secara beransur-ansur.

Melalui teknik menghafal sekurang-kurangnya satu hari satu ayat, seseorang individu mampu menghafal surah al-Fatihah.

Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri 

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×