Diuji dengan kecacatan tempurung kepala yang dinamakan ‘anencephaly‘, seorang bayi lelaki berjaya hidup dengan sihat selepas setahun dilahirkan. Ibu kepada bayi yang berasal dari Texas Amerika Syarikat ini pernah dinasihatkan oleh doktor untuk menggugurkan kandungan selepas laporan imbasan ultrasound menunjukkan kecacatan di bahagian kepala.
Walau bagaimanapun, Omobola Gordon dan suami enggan dan bernekad untuk meneruskan kandungan sehinggalah bayi mereka dilahirkan.
Tempurung kepala tidak sempurna
Pada Oktober 2018, anak mereka yang diberi nama Ozzie lahir dalam keadaan tisu otak berada di luar kerana tempurung kepala yang tidak sempurna. Selepas empat bulan lahir, Ozzie menjalani pembedahan membuang tisu (encephalocele) tersebut.
Perkembangan tumbesarannya terbantut. Dia tidak boleh merangkak atau berjalan tetapi senyuman yang diukirnya mampu mencairkan hati sesiapa yang melihat.
Kadang-kadang dia juga jatuh sakit tiba-tiba tetapi dengan bantuan ubat-ubatan, kami mampu memantau tahap kesihatannya.
Kami juga dapati dia memberi respon kepada apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia ada sense of direction yang kami sendiri tak sangka.
Kalau kami bercakap di belakangnya, kami boleh nampak dia pusing dan mencari-cari kami.
Walaupun dia masih belum boleh merangkak, senyuman manis Ozzie menceriakan hari sesiapa sahaja yang melihatnya. Malah, ibu bapa bayi ini menjaganya seperti bayi normal yang lain.
Satu keajaiban
Omobola juga mengaku beberapa bulan selepas kehadiran Ozzie, hidupnya gelap seketika dan emosinya tidak stabil. Dengan berkongsi kisah ini kepada orang sekeliling, dia berasa lebih tenang dan lega.
Surirumah ini berkata lagi, ketika keluar ramai orang memandang namun dia tidak mengambil hati dan faham perasaan ‘ingin tahu’ mereka terhadap anak.
Usaha beri yang terbaik
Kami perasan ada yang memandang Ozzie tapi kami faham orang rasa tertanya-tanya tetapi malu untuk bertanya. Kami sebenarnya okay dan sudi menjawab soalan orang ramai mengenai kesihatannya.
Kami berusaha memberi yang terbaik buatnya. Kami mahu dia diterima masyarakat walaupun keadaan kepalanya sedemikian.
Kami harap kehadirannya dapat menyentuh hati ramai orang dan menjadi contoh bahawasanya keajaiban itu wujud. Insan istimewa sepertinya perlu kasih sayang dan perhatian sama seperti kanak-kanak yang lain.
Ibu bapa kepada anak istimewa ini percaya dengan apa yang sudah ditakdirkan. Katanya lagi, bagi sesiapa yang mengalami pengalaman sama, jangan sesekali putus harapan kerana ramai yang sudi menghulurkan bantuan.
Sumber : The Sun