berita

Bagaimana Nanti Peranan Kita? – Kisah Mengharukan Tuan Guru Datuk Harun Din Berbakti Kepada Arwah Ibu

September 17th, 2016 | by Arini Saleh
Kini Trending

header

Awal pagi semalam kita dikejutkan dengan pemergian seorang lagi murabbi, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.10 pagi di Hospital Stanfors University Amerika Syarikat . Semoga Allah swt mencucuri rahmat-Nya dan mengampuni Almarhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.

Kisah benar yang mengharukan ini diceritakan sendiri oleh Ustaz Shamsuri dalam salah satu siri ceramah beliau mengenai peribadi mulia yang dimiliki Tuan Guru. Tuan Guru serta adik beradiknya menguruskan sendiri jenazah ibu dengan penuh hormat tanda kasih sayang tidak ternilai kepada ibu. Mampukah kita?

Ibu Ustaz Haron telah meninggal dunia semasa solat Asar

KISAH BENAR TUAN GURU DATO’ HARON DIN

Kisah menarik ini adalah tentang diri Ustaz Haron Din dan adik-beradik beliau. Memang telah diketahui umum, bahawa Ustaz Haron Din dan adik-beradik beliau mempunyai pegangan dan ilmu agama yang tinggi hasil didikan ibubapa mereka yang telah berjaya mencernakan roh Islam ke dalam diri anak-anak mereka hingga menjadi alim ulama, tempat rujukan umat Islam di negara ini, malah di tempat lain juga.

Diceritakan bahawa, ibu Ustaz Haron telah meninggal dunia semasa dalam solat Asar. Sebelum kematian ibu beliau, pada kebiasannya, ibu beliau akan bersembang-sembang dengan jiran-jiran. Para jiran tertanya-tanya ke manakah gerangan si ibu itu, kalau dikatakan pergi ke rumah anak-anak, tidak pula.

Setelah agak lama dengan ketiadaan si ibu itu, lalu jiran mensyaki sesuatu telah berlaku terhadap ibu Ustaz Haron. Mereka kemudian menjenguk ke dalam rumah sambil memberi salam, tetapi tiada jawapan.

Mereka kemudian memberanikan diri untuk masuk ke dalam rumah dan alangkah terperanjat para jiran itu apabila mendapati ibu Ustaz Haron Din dan kawannya telah pun meninggal dunia semasa dalam solat Asar.

Ustaz Haron serta adik beradiknya sendiri menguruskan jenazah ibu

Mereka terus menghubungi anak-anak allahyarhamah. Pada kebiasaannya, apabila berlaku satu-satu kematian, di mana-mana pun akan kita dapati jenazah itu diuruskan oleh orang-orang kampung atau jemaah masjid, jenazah lelaki oleh jemaah lelaki, manakala jenazah perempuan oleh jemaah perempuan. Tetapi berlainan pula dengan jenazah ibu Ustaz Haron Din ini.

Beliau sendiri beserta dengan adik beradik beliau (Ustaz Abu Hassan Din dan Ustaz Ishak Din) menguruskan jenazah ibu mereka. Dengan penuh belaian kasih sayang dan penuh hormat, mereka memandikan ibu mereka, mengkafankan serta menunaikan solat jenazah yang diimamkan sendiri oleh Ustaz Haron Din.

Walaupun diminta oleh orang-orang kampung untuk melaksanakan urusan jenazah tersebut, Ustaz Haron dan adik-beradik mereka dengan penuh sopan mengatakan kepada orang-orang kampung bahawa ini adalah ibu mereka yang telah berjasa melahirkan, memberi makan minum serta mendidik mereka sehingga menjadi anak-anak yang berguna. Oleh itu, sebagai penghormatan yang terakhir dan tanda kasih sayang anak-anak terhadap ibu mereka, biarlah mereka sendiri yang menguruskan jenazah ibu mereka itu.

Bagaimana nanti peranan kita semasa jasad ibu terbujur kaku?

Maka ramailah orang-orang kampung yang mengalirkan airmata mereka, mengenangkan tentang kebaikan dan kesolehan anak-anak hasil didikan tangan si ibu yang berjaya mendidik anak-anak dengan cahaya iman. Sehinggalah ke saat pengkebumian jenazah, urusan ini ditangani sendiri oleh Ustaz Haron adik beradik.

Sungguh menarik dan mengharukan kisah ini. Tanyalah diri kita sendiri. Bagi yang masih mempunyai ibu dan bapa, bagaimana nanti peranan kita semasa jasad ibu bapa kita terbujur kaku? Adakah kita juga ingin menghulurkan bakti zahir yang terakhir sebagai tanda hormat kita kepada kedua-dua ibu bapa kita?

Wallahua’lam…

* Kisah ini diceritakan oleh Ustaz Shamsuri dalam salah satu siri ceramah beliau

Kredit:
harakahdaily.my
darussyifakperlis.wordpress
utusan.com

-Debu-

sumber: Uthman Daud

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×